Tiga pakaian seragam seminggu

PUTRAJAYA 19 Jan. – Mulai Mac ini, Kementerian Pendidikan (KPM) menetapkan tiga jenis pakaian seragam yang boleh digunakan oleh murid-murid sepanjang sesi persekolahan 2024/2025.

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata garis panduan baharu itu membenarkan murid memakai pakaian seragam sekolah untuk dua hari diikuti pakaian sukan selama dua hari dan sehari untuk pakaian kokurikulum.

Dalam Amanat 2024 KPM di sini, hari ini, beliau berkata, KPM memutuskan demikian selepas sesi libat urus dilaksanakan dengan semua pihak berkaitan termasuk pemegang taruh.

Fadhlina berkata, perincian mengenai garis panduan itu akan dimaklumkan kepada semua pihak dalam tempoh terdekat.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Fadhlina menjelaskan pihak sekolah akan diberi kuasa autonomi untuk menentukan hari pemakaian seperti yang ditetapkan dalam garis panduan berkenaan.

“Selain itu, bagi kita ini adalah penegasan keputusan untuk meringankan beban ibu bapa yang berhasrat membuat persiapan lebih awal,” katanya.

Pada 3 Mei tahun lalu, KPM memberikan kebenaran khas kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya untuk memakai pakaian sukan semasa cuaca panas dan kering.

Murid yang memakai pakaian seragam sekolah pula tidak diwajibkan memakai tali leher, memandangkan keadaan cuaca panas boleh mencetuskan gelombang haba yang memudaratkan kesihatan.

Sementara itu, Fadhlina berkata, beliau menzahirkan rasa gembira dengan inisiatif membabitkan penambahan guru.

Jelasnya, sehingga Disember 2023, KPM berjaya membuat penempatan seramai 18,792 guru baharu dan akan bertambah lagi sebelum berakhir sesi penggal persekolahan 2023/2024.

Related posts

Leave a Comment