TEL AVIV: Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata konflik yang sudah berlarutan melebih tiga dekad ini bukan tentang ketiadaan negara Palestin, tetapi berkenaan kewujudan negara Yahudi.
“Selama 30 tahun saya sangat konsisten dan saya katakan perkara yang mudah – konflik ini bukan tentang ketiadaan negara Palestin, tetapi kewujudan negara Yahudi,” katanya.
Ucapannya itu dituju khas kepada sekutu rapatnya Amerika Syarikat (AS), yang kini berbelah bahagi dalam memberikan sokongannya.
Ini kerana Netanyahu dan kerajaan gabungan sayap kanannya majoriti menolak penubuhan negara Palestin, walaupun Washington berpendapat penyelesaian dua negara adalah satu-satunya cara yang boleh dilaksanakan untuk membawa keamanan yang berkekalan di rantau Asia Barat.
Dalam lawatan Setiausaha Negara AS Antony Blinken ke negara Asia Barat minggu lalu, beliau senada dengan Israel bahawa jiran-jirannya yang kebanyakannya Muslim akan membantu memulihkan Gaza selepas perang dan meneruskan integrasi ekonomi dengan Israel dengan syarat mereka komited untuk membenarkan pengwujudan negara Palestin yang merdeka.
Rundingan yang diusahakan oleh AS mengenai sebuah negara Palestin di wilayah yang kini diduduki oleh Israel menemui jalan buntu hampir sedekad lalu.
Dalam pada itu Netanyahu mendakwa Israel mendakwa memusnahkan kira-kira dua per tiga daripada rejimen kumpulan pejuang Hamas di Gaza dan berikrar untuk meneruskan perang sehingga mencapai kemenangan sepenuhnya.
Katanya terdepat dua peringkat untuk pertempuran, pertama; memusnahkan rejimen pejuang Hamas dan kedua adalah pembersihan wilayah menerusi ketenteraan.
“Sehingga kini 16 atau 17 daripada 24 rejimen Hamas telah musnah. Selepas itu ada (peringkat) membersihkan wilayah itu (daripada militan). Tindakan pertama biasanya lebih pendek, yang kedua biasanya mengambil masa lebih lama dan kami menangani kedua-dua perkara pada masa yang sama,” katanya.
Netanyahu turut berjanji pertempuran akan berterusan sehingga Hamas ditewaskan dan tebusan di Gaza dibebaskan sepenuhnya.
