PM hadir perkahwinan Putera Sultan Brunei

KUALA LUMPUR 14 Jan. –  Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan isteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail, menitipkan doa agar perkahwinan anakanda Sultan Brunei, Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah, bersama Dayang Anisha Rosnah, diberkati serta dirahmati Allah SWT.

Dalam catatan melalui Facebook, Anwar memaklumkan, mereka amat berbesar hati menerima jemputan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, dan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha ke Istiadat Persandingan Diraja putera baginda berdua yang berlangsung di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan, hari ini.

“Dititipkan doa semoga perkahwinan ini diberkati dan dirahmati Allah SWT,” tulis beliau yang turut memuat naik beberapa gambar istiadat persandingan berkenaan.

Dalam catatan itu, Anwar juga memaklumkan bahawa beliau sempat bertemu pemimpin ASEAN lain yang hadir ke majlis berkenaan, antaranya Presiden Indonesia, Joko Widodo; Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr; dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.

Putera Abdul Mateen dan Dayang Anisha selamat diijabkabulkan dalam Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja di Masjid Omar Ali Saifuddien pada Khamis lalu.

Sambutan hari ini adalah acara kemuncak 10 hari sambutan perkahwinan itu.

(Foto FB PM Anwar)

Related posts

Leave a Comment