Bersih sokong akta kekal penggal Parlimen

KUALA LUMPUR 14 Jan. –  Akta Penggal Tetap Parlimen diperlukan untuk memastikan penggal Parlimen kekal sehingga habis tempoh demi kestabilan politik dalam membantu melancarkan usaha reformasi untuk kepentingan rakyat.

Menurut Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), penggubalan akta itu perlu disusuli pembentukan Akta Peruntukan Pembangunan Kawasan yang saksama kepada ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Bersih berpandangan akta ini tidak menafikan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memberi perkenan pembubaran Parlimen sekiranya diminta oleh Perdana Menteri seperti yang dinyatakan dalam Perkara 40 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan.

Menerusi akta itu, sebarang tatacara membabitkan usul undi tidak percaya terhadap kerajaan atau Perdana Menteri di dalam Parlimen berasaskan Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan harus dinyatakan dengan jelas agar sebarang langkah belakang yang bercanggah dengan prinsip demokrasi berparlimen tidak  berlaku.

Sebagai tambahan kepada Akta ini, pengenalan kepada mekanisme kepercayaan (confidence mechanism) di Dewan Rakyat dengan dua prosedur iaitu Undi Tidak Percaya Berkonstruktif yang hanya membenarkan penyandang Perdana Menteri ditukar sekiranya ada calon untuk digantikan dan calon itu disahkan pula dengan mekanisme Undi Pengesahan Kepercayaan.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri,  Dr Ahmad Zahid Hamidi, mencadangkan penggubalan rang undang-undang (RUU) penggal tetap Parlimen supaya pembentukan sesebuah kerajaan kekal sehingga akhir penggal atau sebelum pilihan raya umum (PRU) seterusnya diadakan.

Ahmad Zahid dilaporkan berkata, langkah itu berupaya menjamin kestabilan negara berikutan kerajaan tidak diganggu oleh percaturan ahli politik demi kepentingan dan agenda masing-masing.

Bagi menjayakan saranan itu, Bersih menyarankan kesemua blok politik bergerak ke hadapan bekerja untuk menambahbaik gerak kerja yang memberi manfaat kepada rakyat dan hentikan permainan politik yang merugikan masa depan negara.

“Bersih  menyarankan semua blok politik bekerja untuk menambah baik gerak kerja yang memberi manfaat kepada rakyat dan hentikan permainan politik yang merugikan masa depan negara,” katanya.

Jawatankuasa Pemandu Bersih berkata, sudah tiba masanya kerajaan dan pembangkang duduk semeja dan bersepakat menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Reformasi Politik demi kepentingan rakyat.

Katanya, MOU itu pernah dibuat ketika pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas gesaan Bersih yang membolehkan wujudnya Undang-Undang Antilompat Parti.

“Bersih berpandangan usaha ini adalah mustahak demi kemajuan negara dan penambahbaikan sistem politik sedia ada yang pasti akan memberi manfaat kepada semua pihak.

“Justeru, Bersih bersedia untuk tampil menjadi perantara antara kerajaan & pembangkang untuk memastikan ianya dijayakan sebaiknya,” kata kenyataan itu.

Selain Akta Penggal Tetap Parlimen dan Peruntukan Pembangunan Sama Rata, Bersih turut menggesa dirangkul beberapa agenda reformasi lain terutamanya Reformasi Pilihan Raya dan SPR, pemisahan bidang kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya, Akta Perkhidmatan Parlimen serta Akta Pembiayaan Dana Politik.

Nnn

Related posts

Leave a Comment