PEKAN 12 Jan. – Banyak bersabar! Demikian antara titah nasihat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepada mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).
Baginda mengingatkan mereka supaya tidak cepat menghukum dan memburukkan kerajaan jika berlaku apa juga kekurangan di pusat pemindahan sementara (PPS).
Titah baginda, kerajaan sentiasa berusaha membantu dan memberi yang terbaik kepada setiap mangsa banjir, tidak ada istilah mengambil mudah dalam menguruskan pihak terbabit.
“Mangsa banjir perlu banyak bersabar sepanjang berada di PPS…sebagai contoh kalau makanan lewat sedikit sampai janganlah buat bising menyalahkan petugas yang sudah melakukan sebaik mungkin,” titah baginda ketika menyantuni mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Merchong Jaya, dekat sini semalam.
Baginda turut diiringi Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Menurut baginda, dalam keadaan ditimpa bencana banjir mereka terbabit perlu lebih banyak bersyukur dengan pelbagai bantuan yang disediakan kerajaan.
“Saya difahamkan makanan di PPS sedap…tidak ada lagi ikan sardin seperti sebelum ini,” titah baginda.
Baginda turut menasihati mangsa banjir sentiasa menjaga kebersihan di persekitaran PPS terutama tandas bagi mengelakkan penyakit berjangkit yang akan mudah merebak.
“Wabak COVID-19 masih lagi berada di negara kita. Kita tidak mahu penyakit lain pula. Sebab itu diingatkan supaya kebersihan di persekitaran di PPS, khususnya dalam bilik air.
“Saya juga berharap mangsa banjir setiap hari terus berdoa supaya cepat surut dan boleh pulang ke rumah masing-masing, meneruskan aktiviti harian seperti biasa,” titah baginda.
Dalam pada itu, baginda turut meninjau lokasi mendapan struktur jalan yang menyebabkan jalan runtuh di KM73, laluan FT012 Lebuhraya Kuantan – Segamat (Kawasan Burung Unta) dekat sini.
Baginda turut diberi taklimat oleh Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengarah Kerja Raya Negeri Pahang. Ir Hafizah Zakaria.
Nnn
