Dakwaan rasuah Agong fitnah melulu

KUALA LUMPUR 11 Jan. – Tuduhan bahawa Perikatan Nasional (PN) merasuah Yang di-Pertuan Agong sebanyak RM1 bilion untuk menjatuhkan kerajaan adalah fitnah melulu yang jelek, keterlaluan dan tidak masuk akal.

Pengerusi PN,  Muhyiddin Yassin, berkata fitnah jahat itu disambut pula oleh beberapa tokoh Pakatan Harapan (PH) termasuk yang berjawatan dalam kerajaan.

“Saya percaya mereka yang membuat dan menyebar fitnah ini melakukan kesalahan berat di bawah Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan.

“Laporan polis telah dibuat oleh Hamzah Zainuddin selaku Ketua Pembangkang dan Setiausaha Agung PN supaya mereka yang berkenaan disiasat dan diambil tindakan tegas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin juga mengingatkan pemimpin PH dan konco-konconya supaya tidak mengheret institusi Raja Berperlembagaan dalam taktik fitnah politik yang amat jahat dan kotor.

“Janganlah memfitnah orang lain semata-mata untuk menutup pekung kelemahan dan kegagalan diri sendiri.

Malaysia mempunyai peruntukan tertentu di dalam Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan cara-cara serta kaedah yang sah dalam pelantikan Perdana Menteri dan pembentukan kerajaan.

“Perlembagaan Persekutuan membenarkan sebuah kerajaan dibentuk sama ada melalui pilihan raya atau di luar pilihan raya, iaitu apabila atas apa jua sebab Perdana Menteri meletak  jawatan.

“Peruntukan perlembagaan ini mestilah dipatuhi dalam menentukan sebarang pembentukan atau pertukaran kerajaan,” katanya.

Kelmarin, Setiausaha Politik Anwar Ibrahim, Azman Abidin meminta pihak berkuasa menyiasat dakwaan mengatakan seorang pemimpin PN terbabit dalam cubaan merasuah individu berpengaruh dan Ahli Parlimen untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

Melalui siaran sebuah blog,  pemimpin PN yang juga seorang Ahli Parlimen didakwa telah menyediakan dana RM1 bilion untuk memberi rasuah kepada Ahli Parlimen kerajaan agar menarik balik sokongan terhadap perdana menteri.

Nnn

Related posts

Leave a Comment