1.10 juta vaksin tamat tempoh

PUTRAJAYA: Sebanyak 1.10 juta vaksin sudah tamat tempoh antara satu hingga 212 hari membabitkan jenama Cansino, Comirnaty dan AstraZeneca, kata Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid.

Beliau berkata setakat April 2022, Kementerian Kesihatan (KKM) membelanjakan RM4.462 bilion daripada RM5.577 bilion peruntukan bagi perolehan 75.88 juta dos vaksin terdiri daripada vaksin Comirnaty, AstraZeneca, CoronaVac dan Convidecia.

Selain itu, bekalan vaksin turut diperoleh daripada kerajaan negeri, pembelian oleh pihak swasta dan sumbangan dari negara luar.

Bercakap pada sidang media Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021, hari ini, beliau berkata sehingga April 2022 jumlah keseluruhan vaksin yang diterima adalah sebanyak 82.85 juta dos.

Setakat April 2022, sebanyak 71.26 juta dos sudah digunakan dan mempunyai baki sebanyak 11.59 juta dos vaksin.

“Daripada jumlah baki itu, sebanyak 1.10 juta dos vaksin sudah luput tempoh jangka hayat antara satu hingga 212 hari,” katanya.

LKAN juga melaporkan bahawa nilai perolehan dos vaksin melalui perolehan Kerajaan yang sudah luput tempoh hayat tidak dapat ditentukan pihak Audit berikutan perekodan vaksin melalui sistem pengurusan dan pemantauan vaksin (VMS) tidak dapat dikategorikan berdasarkan kaedah perolehan vaksin.

Related posts

Leave a Comment