Tiada air, PM mahu laporan peruntukan RM3 juta

PUTRAJAYA 9 Jan. – Perdana Menteri Anwar Ibrahim mahu laporan penelitian dikemukakan berkaitan peruntukan segera RM3 juta diberikan kerajaan tahun lalu bagi mengatasi masalah air di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Beliau tersinggung dengan laporan mengenai sekumpulan pelajar di universiti berkenaan yang mengadu tidak mandi disebabkan ketiadaan bekalan air.

“Tahun lalu saya sampai ke sana. Saya dengar resahan dan saya minta pengesahan dari Naib Canselor. Saya luluskan (peruntukan), saya tidak mengerti sama ada mungkin projek itu ambil masa.

“Saya nak minta laporan teliti, apa jadi sejak Menteri Kewangan luluskan peruntukan segera untuk selesaikan masalah air di UMS,” katanya pada Perhimpunan warga Kementerian Kewangan (MOF) bersama Perdana Menteri dan Menteri Kewangan di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata selain isu di UMS, laporan sama juga perlu dikemukakan membabitkan isu masalah bekalan air yang turut berlaku di sebuah kem tentera di negeri itu yang dilawati sebelum mengunjungi UMS.

Tahun lalu, Anwar bersetuju memberikan peruntukan RM3 juta kepada UMS bagi menyelesaikan masalah air di kampus itu.

Semalam, Menteri Pengajian Tinggi,  Dr Zambry Abdul Kadir memaklumkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menyalurkan peruntukan tambahan RM2 juta kepada UMS bagi mengatasi masalah bekalan air dihadapi warga kampusnya.

Menurut Zambry, pihak UMS memerlukan sedikit peruntukan tambahan khususnya untuk kawasan yang mempunyai sumber air, tetapi air itu tidak boleh dipam naik ke kawasan tinggi di asrama berkenaan.

Ketika mengunjungi UMS semalam, Zambry menerima sambutan unik daripada para pelajar apabila mereka menzahirkan kesusahan dengan menunjukkan kadbod untuk memberitahu masalah mereka di kampus berikutan masalah air.

Related posts

Leave a Comment