PUTRAJAYA 8 Jan. – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menganggap satu perkembangan yang positif perbahasan berkaitan kisah Ashabul Kahfi walaupun serangan terhadapnya berhubung tafsiran ayat berkenaan agak keterlaluan.
Justeru beliau akan terus memetik ayat-ayat al-Quran berserta tafsiran dalam ucapannya selepas ini, namun akan merujuk Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) terlebih dahulu agar dapat mengelak daripada sebarang kontroversi.
Beliau berkata, walaupun ucapannya berkaitan kisah Ashabul Kahfi pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebelum ini mencetuskan kritikan sesetengah pihak, beliau turut bersyukur kerana timbul minat terutamanya anak-anak muda untuk lebih banyak membaca serta menelaah.
Katanya, kisah berkenaan juga dibincangkan secara panjang lebar serta meluas, dan perkara tersebut adalah sesuatu yang jarang sekali berlaku di masa lepas.
“Yang paling meluas adalah surah Kahfi (namun), ada baiknya kerana rakan-rakan Jakim tahu bahawa jarang sekali berlaku perbincangan tentang kupasan ayat-ayat al-Quran dan saya anggap ini satu perkembangan yang positif walaupun serangan terhadap saya itu saya anggap agak keterlaluan,” katanya..
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.
Pada 22 Disember lalu media melaporkan, Anwar menegur tindakan segelintir pendakwah yang terburu-buru mengupas sesuatu isu yang disifatkan beliau lebih mengikut sentimen politik.
Perdana Menteri berkata, seharusnya pihak terbabit menyemak terlebih dulu fakta sebelum membuat sebarang penjelasan kepada orang ramai.
Nnn
