Keselamatan Asia Barat terancam

DOHA: Perang di Gaza sudah menunjukkan tanda-tanda akan merebak lebih luas yang bakal mengancam keselamatan Asia Barat, demikian amaran Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken.

Blinken yang dalam rangka lawatan ke Asia Barat bagi meredakan ketegangan di rantau berkenaan berkata, perang itu konflik yang boleh bercambah dengan mudah menyebabkan lebih banyak suasana tidak selamat dan lebih banyak penderitaan.

“Ketegangan di rantau berkenaan semakin meruncing manakala rundingan damai mahupun gencatan senjata gagal membuahkan hasil,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Qatar, Sheikhy Mohammed Abdulrahman Al Thani.

Blinken berada di Qatar dan akan menyusul ke Jordan, Turkiye dan Greece untuk lawatan seterusnya dalam usaha meredakan ketegangan dan membawa kembali Israel serta Hamas ke meja rundingan bagi mencari rumusan diplomatik.

Sejak perang Israel-Palestin pada 7 Oktober lalu, rejim Zionis tanpa henti melakukan pengeboman dan pencerobohan darat sehingga membunuh sekurang-kurangnya 22,835 orang di Gaza, kebanyakan wanita dan kanak-kanak.

Blinken turut memberi amaran bahawa Israel wajib melakukan segala usaha yang mungkin untuk melindungi orang awam.

Selain itu, rejim Zionis juga diminta untuk memastikan sebarang operasi direka khas untuk melindungi kepentingan orang awam dan mendapatkan bantuan kemanusiaan untuk disalurkan kepada golongan memerlukan.

Di tengah-tengah krisis kemanusiaan yang semakin meruncing dengan ditambah pemindahan besar-besar di Gaza, Blinken menegaskan orang awam perlu dipastikan boleh pulang ke rumah masing-masing sebaik saja keadaan mengizinkan.

“Mereka tidak boleh, mereka tidak boleh didesak untuk meninggalkan Gaza,” katanya mengulas kenyataan dua menteri Israel yang mencadangkan rakyat Palestin digalak berpindah.

Mengulas kematian dua wartawan Al Jazeera di Gaza beliau menyifatkan tindakan rejim Zionis itu sebagai tragedi yang tidak dapat dibayangkan dan perkara sama

juga berlaku kepada ramai lelaki, wanita dan kanak-kanak Palestin yang tidak bersalah.

Nnn

Related posts

Leave a Comment