Langkah Dubai: Setiausaha Politik PM lapor polis

PUTRAJAYA 8 Jan. – Selepas 10 hari gerakan yang didakwa mahu menumbangkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim didedahkan, satu laporan polis dibuat oleh Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Mohd Akin, hari ini.

Laporan berkaitan Langkah Dubai itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya di sini, supaya pihak berkuasa dapat menyiasat gerakan yang jelas bertentangan dengan Seksyen 124B dan Seksyen 124C Kanun Keseksaan.

Shamsul Iskandar berkata, gerakan Langkah Dubai itu jelas tidak bertanggungjawab yang bukan sahaja menggugat sistem demokrasi berparlimen, malah sia-sia kerana kewujudan Akta Antilompat Parti.

“Saya membuat satu laporan polis bagi menyiasat gerakan yang didakwa sedang diusahakan dengan bersungguh-sungguh oleh beberapa Ahli Parlimen Pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri.

Pendedahan dibuat oleh seorang penulis blog dikenali sebagai Raja Petra Kamaruddin yang mendakwa terdapat gerakan bersungguh-sungguh beberapa Ahli Parlimen Pembangkang untuk menggulingkan kerajaan,” katanya selepas membuat laporan berkenaan.

Terdahulu, pada 30 Disember lalu, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM),  Ismail Yusop, mendakwa Langkah Dubai timbul sewaktu percutian pemimpin Perikatan Nasional (PN) termasuk dari pihak kerajaan di ibu kota Emiriyah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.

Beliau mendakwa, pertemuan itu berlangsung untuk berunding selain menetapkan tugas tertentu kepada ‘pegawai’ yang dipertanggungjawab untuk mengenal pasti ahli Parlimen yang berpotensi beralih sokongan kepada pembangkang dengan sogokan, semata-mata mahu menubuhkan kerajaan ‘tebuk atap’,

Bagaimanapun  Anwar dalam reaksinya pada 2 Januari lalu berkata, beliau tidak ‘mengambil pusing’ mengenai rancangan sulit untuk menggulingkan kerajaan.

“Saya ada terbaca mengenai Langkah Dubai di media sosial tetapi bagi saya, kita tumpu soal kerja. (Langkah Dubai) itu kerja mereka (namun) bagi saya (ia) tidak memberi kesan (kepada kedudukan Kerajaan Perpaduan),” katanya.

Dalam pada itu Shamsul Iskandar berkata, tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu boleh memudaratkan demokrasi, menimbulkan keresahan dan mencetuskan ketidaktenteraman awam.

Tegasnya, sebarang cubaan untuk mewujudkan ketidastabilan politik yang boleh mengancam keselamatan negara mesti digagalkan.

Ditanya sama ada laporan polis itu menunjukkan kerajaan seolah-olah tergugat dengan gerakan terbabit, beliau berkata, sebarang usaha berkenaan perlu ditamatkan.

“Saya serahkan kepada mereka yang mendapat perspektif begitu, dan bagi pihak kerajaan, tentunya kita ingin menamatkan perkara ini sebab nanti dianggap kerajaan tidak berbuat apa-apa.

“Saya ingin menyatakan kepada mereka di luar sana, Malaysia ini ada undang-undang, ada peraturan, ada perlembagaan dan kita sudah melalui episod ini banyak kali dan kita sudah beri penamatnya dengan adanya Akta Antilompat Parti,” katanya.

Selain laporan di IPD Putrajaya, Shamsul Iskandar berkata, perkara sama turut dibuat di 12 negeri antaranya di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Kedah, Perak, Sabah dan Sarawak hari ini.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment