RAMALLAH: Kira-kira 11,000 penduduk Palestin ditahan di penjara Israel sepanjang Tahun 2023 dengan separuh daripadanya ditangkap selepas 7 Oktober.
Jumlah itu hampir menyamai angka tangkapan yang dilakukan antara tahun 2001-2002 semasa gelombang Intifada Al-Aqsa Kedua dan tidak termasuk tahanan Gaza selepas 7 Oktober.
Angka tersebut dikeluarkan Suruhanjaya bagi Tahanan dan Hal Ehwal Bekas Tahanan Palestin dalam kenyataan bersama tiga lagi organisasi berkaitan tahanan Palestin.
Organisasi berkenaan ialah Kelab Tahanan Palestin, Yayasan Penjagaan Tahanan dan Hak Asasi Manusia Palestin “Addameer” dan Pusat Maklumat Wadi Hilweh-Baitulmaqdis.
Kenyataan berbahasa Arab itu menjelaskan jumlah tangkapan dalam tempoh tiga bulan terakhir tahun 2023 selepas 7 Oktober lalu melebihi 5,500, termasuk 355 kanak-kanak, 184 wanita dan 50 wartawan warga Palestin.
Ini bukan sahaja mencerminkan peningkatan dalam bilangan mereka yang ditangkap malah merupakan bukti terhadap tahap kekejaman tentera penjajah Israel.
