GAZA: Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, terus berikrar hanya akan berhenti melancarkan serangan ke atas Gaza yang menghampiri bulan keempat selepas ‘kemenangan penuh’ memusnahkan Hamas.
Pemimpin zionis itu masih berkeras dengan pendiriannya walaupun masyarakat antarabangsa, termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, kini menggesa konflik Israel-Palestin diselesaikan secara diplomatik.
Beliau menegaskan Israel akan meneruskan kempennya untuk menghapuskan Hamas, membebaskan tahanan dan memastikan bahawa Gaza tidak lagi menjadi ancaman kepada Israel.
“Kita perlu mengetepikan segala-galanya sehingga kemenangan sepenuhnya dicapai,” kata Netanyahu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabatnya.
Perang yang dicetuskan oleh serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, dilancarkan oleh Hamas pada 7 Oktober 2023, hingga mengakibatkan kematian kira-kira 1,140 penduduk Israel, berdasarkan angka rasmi Israel.
Pejuang Hamas turut menculik kira-kira 250 tebusan, 132 daripadanya kekal dalam tawanan termasuk sekurang-kurangnya 24 yang dipercayai sudah terbunuh.
Sebagai tindak balas, Israel melakukan pengeboman tanpa henti dan pencerobohan darat hingga membunuh sekurang-kurangnya 23,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Dalam satu kenyataan semalam, kementerian itu berkata ia merekodkan lebih 120 kematian dalam tempoh 24 jam yang lalu.
