Kos garis bercahaya 20 kali ganda

JELI 6 Jan. – Garisan jalan bercahaya dalam gelap atau ‘glow in the dark’ membabitkan kos amat mahal sehingga hampir 20 kali ganda berbanding kaedah konvensional yang digunakan ketika ini.

Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi, berkata Kementerian Kerja Raya (KKR) mengaku ada keperluan untuk memasang garisan jalan bercahaya dalam gelap atau ‘glow in the dark’ di Lebuh Raya Timur-Barat (Jeli-Gerik),

Beliau berkata, pihaknya memang sudah melakukan kajian berhubung perkara itu dan mengadakan lawatan ke Hulu Langat, November lalu.

“Ia  (garisan jalan bercahaya dalam gelap) nampak bagus, selain maklum balas daripada pengguna juga positif.

Namun, kosnya sangat mahal berbanding kaedah yang kita gunakan sekarang. Kos pemasangan garisan jalan bercahaya dalam gelap adalah RM749 bagi setiap meter persegi berbanding kaedah konvensional menggunakan cat yang hanya RM40 bagi setiap meter persegi,” katanya selepas melawat Jalan Dabong-Jeli, di sini, hari ini.

Justeru, Alexander menjelaskan, pihaknya perlu melakukan kajian lanjut secara menyeluruh terlebih dahulu, selain meneliti dari aspek kewangan.

“Jika menggunakan kaedah yang memerlukan kos tinggi, mungkin hanya boleh membabitkan jarak yang dekat dan ia masih mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment