Tiada individu baharu bakal dituduh

PUTRAJAYA 14 Jun – Tiada individu baharu yang akan dikemukakan untuk dituduh dalam kes Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) yang sedang dalam perbicaraan, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),  Azam Baki.

Ketika mengesahkan demikian, Azam berkata, siasatan kes berkenaan sudah selesai dan kes kini dalam tempoh perbicaraan di mahkamah.

“Siasatan kes ini sudah pun selesai dan kes juga kini dalam perbicaraan. Mana-mana isu rasuah juga sudah dituduh. Jadi bagi saya, setakat ini tiada pihak lagi akan dituduh bagi kes UKSB,” katanya selepas Anugerah Media SPRM, di sini, hari ini.

Semalam, bekas Pengarah UKSB, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani memberitahu Mahkamah Tinggi, bahawa syarikatnya memberi sumbangan dana politik antara RM50,000 hingga RM200,000 kepada UMNO Bahagian Rembau yang mana Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin adalah Timbalan Ketua UMNO bahagian itu.

Wan Quoris Shah, 42, yang juga ahli UMNO berkata, wang untuk tujuan bantuan politik, bencana dan aktiviti kemanusiaan itu tidak diserahkan secara terus kepada Khairy, sebaliknya diberikan menerusi UMNO Bahagian Rembau.

Related posts

Leave a Comment