Tiada kelemahan PADU, lebih 200,000 daftar

PUTRAJAYA 3 Jan. – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, tiada kelemahan dikesan dalam pengendalian pengesahan semasa Security Posture Assessment (SPA) menggunakan nombor MyKad membabitkan pendaftaran sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

Katanya, pasukan PADU sudah mengambil tindakan segera berhubung isu berbangkit dengan penyelesaian dilaksanakan dalam tempoh satu jam malam tadi.

Perkara itu dikongsikan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, yang menyenaraikan beberapa isu berbangkit berkaitan pendaftaran PADU menerusi aplikasi X rasminya hari ini.

Berhubung pertanyaan mengenai ‘Bug/Vulnerability’ (Pepijat/Kelemahan) dalam mengisi maklumat, Rafizi berkata, bagi melicinkan proses pengemaskinian individu, maklumat pengemaskinian boleh dilaksanakan sejurus log daftar masuk tanpa melalui proses e-KYC (Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital).

e-KYC hanya dilaksanakan selepas pengemaskinian maklumat dilaksanakan dan individu ingin membuat pengesahan dan perakuan penghantaran profil.

“Sebarang maklumat yang diisi tanpa eKYC yang disahkan tidak akan diintegrasikan ke dalam PADU. Hanya maklumat yang dikemukakan dari pengguna yang berjaya pengesahan eKYC dikira sah,” katanya.

Beliau juga menjelaskan, nombor telefon sama boleh digunakan sebanyak lima kali.

untuk mendaftar berbilang akaun bagi memudahkan pendaftaran individu yang juga ahli isi rumah berusia 18 tahun ke atas atau ibu bapa yang tidak memiliki telefon.

Katanya, PADU direkabentuk bagi memusatkan maklumat setiap individu yang bertaraf warga negara dan pemastautin tetap di Malaysia dan bagi tujuan ini, setiap individu yang berumur 18 tahun dan ke atas perlu mempunyai akaun individu sendiri.

Bagi tujuan pembentukan isi rumah, individu yang berada di bawah satu isi rumah perlu dimasukkan di bawah satu isi rumah bersama ahli yang lain termasuklah mereka yang berusia di bawah 18 tahun dan bukan warga negara.

Jelasnya, ia bertujuan memastikan maklumat isi rumah terselaras dan hanya ketua isi rumah sahaja dibenarkan membuat pengemaskinian isi rumah.

Perakuan bagi ahli isi rumah hanya boleh dibuat apabila ketua isi rumah selesai mengisi maklumat isi rumah masing-masing dan setiap individu digalakkan untuk mengisi bersama-sama isi rumah yang lain bagi memudahkan proses perakuan dilakukan dengan mudah.

Mengenai medan data kosong selepas proses e-KYC, Rafizi berkata, e-KYC adalah proses pengesahan identiti pengguna.

“Pengguna perlu memastikan setiap maklumat yang dikemaskini perlu disimpan (save) pada setiap variabel. Selepas semua maklumat disimpan, pengguna perlu melaksanakan e-KYC bagi melaksanakan perakuan kepada maklumat yang dikemaskini,” katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan sebanyak 233,782 pengguna sudah mendaftar dengan sistem berkenaan.

Semua rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas perlu mendaftar dan membuat semakan data di portal PADU serta mengemas kini dan mengesahkan 39 maklumat diri yang diperlukan.

Nnn

Related posts

Leave a Comment