BEIRUT – Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh dalam siri serangan udara Israel di selatan Lubnan pada Rabu, yang turut melibatkan dua anggota paramedik selepas ambulans mereka disasarkan dalam serangan di kawasan Chehour.
Menurut pihak berkuasa tempatan, serangan dilakukan ketika kumpulan bersenjata Hezbollah yang disokong Iran melancarkan roket ke arah utara Israel.
Kementerian Kesihatan Lubnan memaklumkan sebuah kenderaan turut diserang berhampiran selatan Beirut.
Tentera Israel pula memaklumkan bahawa mereka berjaya memintas sebuah dron dan dua peluru yang melintasi sempadan, dipercayai dilancarkan dari Lubnan.
Hezbollah menyatakan bahawa serangan tersebut menyasarkan kumpulan tentera Israel.
Insiden terbaharu ini menguji gencatan senjata separa yang dipersetujui pada Isnin, yang menetapkan Israel tidak akan membedil Beirut sebagai balasan kepada tindakan Hezbollah menghentikan serangan terhadap Israel.
Namun, ketegangan terus meningkat apabila kedua-dua pihak dilihat melanggar persefahaman tersebut.
Rundingan antara diplomat Israel dan Lubnan masih berlangsung di Washington, dengan Amerika Syarikat (AS) berharap dapat mencapai pelan tindakan bagi menjamin keselamatan di Lubnan tanpa penglibatan Hezbollah.
Pihak berkuasa Lubnan menuduh Israel melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa kerana menyasarkan kakitangan perubatan.
Sementara itu, Hezbollah menegaskan bahawa serangan balas mereka dilakukan bagi menentang pelanggaran gencatan senjata oleh Israel, termasuk penggunaan dron dan bedilan roket ke arah kedudukan tentera Israel di utara negara itu.
Pemimpin Israel memberi amaran bahawa serangan ke atas Beirut akan disambung sekiranya Hezbollah terus melancarkan serangan rentas sempadan.
Nnnn
