Hong Kong aktif kawalan import dari Jepun

HONG KONG: Berikutan hasrat Jepun melepaskan air radioaktif terawat daripada loji nuklear Fukushima yang lumpuh ke dalam laut, Hong Kong mengaktifkan kawalan import bagi melindungi keselamatan makanan dan kesihatan awam.

Hab kewangan Asia itu berkata, larangan import akan berkuat kuasa mulai esok, 24 Ogos, bersamaan dengan hari Jepun mula melepaskan air terawat.

Jepun mengumumkan akan melepaskan lebih daripada satu juta tan air dari loji di utara Tokyo itu yang dikatakan selamat. Loji itu musnah akibat tsunami 2011 dan kebanyakan air itu digunakan untuk menyejukkan reaktor yang rosak.

Ketua Eksekutif Hong Kong, John Lee, berkata pelepasan itu disifatkan tidak bertanggungjawab dan menimbulkan risiko kepada keselamatan makanan, pencemaran dan kemusnahan alam laut yang tidak boleh diperbaiki.

Lee berkata, beliau meminta Setiausaha Alam Sekitar, Tse Chin-wan dan jabatan berkaitan supaya segera mengaktifkan kawalan import bagi melindungi keselamatan makanan dan kesihatan awam.

“Tiada jadual waktu pada ketika ini mengenai berapa lama larangan yang meliputi produk akuatik hidup, beku, sejuk beku, kering, garam laut dan rumpai laut yang diimport dari wilayah Jepun itu akan berlarutan.

“Larangan itu membabitkan import dari wilayah Tokyo, Fukushima, Chiba, Tochigi, Ibaraki, Gunma, Miyagi, Niigata, Nagano dan Saitama sementara , eksport dari 13 wilayah lain masih dibenarkan,” katanya .

Keputusan akan bergantung kepada data dan maklumat daripada Jepun selepas pelepasan itu.

Hong Kong ialah pasaran kedua terbesar Jepun, selepas tanah besar China untuk eksport pertanian dan perikanan.

Berikutan itu, banyak restoran bergelut dengan larangan yang semakin meningkat dan merancang untuk menambah lebih banyak daging ke dalam menu kerana menjangkakan kerugian sehingga 40 peratus.

Macau juga akan melaksanakan larangan mulai Khamis ini, meliputi barangan dari 10 wilayah Jepun yang sama.

Related posts

Leave a Comment