114 sertai Program Umrah Asnaf Jelajah Kasih 5.0

SEPANG 1 Jan. –  Seramai 114 golongan asnaf berlepas ke Jeddah malam tadi bagi menunaikan ibadah umrah melalui Program Umrah Asnaf Jelajah Kasih 5.0 yang ditaja syarikat Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd. (Andalusia).

Daripada jumlah itu, seramai 81 orang asnaf dari Negeri Sembilan mendapat tajaan bersama kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Melalui program itu juga Andalusia turut menaja  asnaf dari Sabah (7), Kelantan (15), Wilayah Persekutuan (10), Melaka (2) di samping penyertaan lima wartawan media cetak dan elektronik dan lima pengiring dari MAINS.

Mengucapkan selamat berangkat di KLIA adalah Pengerusi Andalusia,  Daud Che Ngah, yang turut memberi taklimat ringkas kepada jemaah, Pengarah dan Penasihat Undang-undang Andalusia, Ida Riswana Idris, dan Pengarah Urusan Andalusia Ibrahim Mat Sin.

Terdahulu di hotel penginapan jemaah asnaf di Klana Resort, Seremban, Menteri Besar Negeri Sembilan  Aminuddin Harun turut memberi amanat ringkas sebelum mereka menaiki bas ke  KLIA.

Sebelum ini, program asnaf yang bermula pada tahun 2016 turut melibatkan kerjasama dengan Kementerian Pelancongan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat pada tahun 2018 dan 2019.

Pada bulan Ogos 2023 juga, Andalusia bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Pahang menganjurkan Program Umrah Asnaf Jelajah Kasih 4.0 melibatkan 84 individu asnaf di negeri itu.

Program ini adalah untuk membantu golongan asnaf yang ingin menunaikan umrah dan menjejakkan kaki ke Baitullah dan menziarahi Rasulullah sekali seumur hidup yang merupakan impian bagi setiap umat Islam.

Semua jemaah asnaf diberi kursus secara singkat tetapi menepati tujuan ibadah.

Pihak Andalusia berharap dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, lebih ramai golongan asnaf dan mereka yang kurang berkemampuan dapat menunaikan ibadah umrah pada masa depan.

Related posts

Leave a Comment