SPR tidak ada rancangan kajian semula persempadanan

PUTRAJAYA  1 Jan. – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak merancang untuk melaksanakan kajian semula persempadanan bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah berikutan lat tempoh yang masih berkuat kuasa.

Pengerusi SPR, Abdul Ghani Salleh, ia juga hanya boleh dilaksanakan apabila terdapat pindaan ke atas komposisi bilangan keanggotaan Ahli Dewan Rakyat atau Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau juga menjelaskan urusan itu hanya boleh dilaksanakan selepas tamat lat tempoh lapan tahun dari tarikh siapkan kajian terdahulu.

Bagi maksud tersebut, urusan kajian semula persempadanan terdahulu bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu telah selesai dijalankan pada 2018. Bagi Sarawak dan Sabah pula adalah masing-masing pada 2015 serta 2017.

“Sesuatu syor kajian semula persempadanan hanya akan dimulakan apabila terdapat pemberitahuan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Perdana Menteri oleh SPR serta disiarkan suatu notis sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Bahagian II, Seksyen 4, Jadual Ke-13, Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dari semasa ke semasa, sebagaimana difikirkan perlu, SPR bertanggungjawab mengkaji semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya persekutuan dan negeri berlandaskan kepada prinsip serta tatacara yang ditetapkan mengikut Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.

Abdul Ghani juga menjelaskan terdapat empat prinsip  berhubung persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya.

Pertama, kewajaran memudahkan diadakan bagi pemilih diberi peluang keluar mengundi semasa pilihan raya dan bahagian-bahagian pilihan raya tidak merentasi sempadan negeri.

Mengambil kira kemudahan pentadbiran yang boleh didapati dalam bahagian pilihan raya itu untuk mengadakan jentera yang perlu bagi pendaftaran dan pengundian.

Bilangan pemilih yang lebih kurang sama banyak bagi setiap bahagian pilihan raya dalam sesebuah negeri kecuali apabila terdapat kesukaran perhubungan dan kesukaran lain yang dihadapi bahagian-bahagian pilihan raya di luar bandar, luas bahagian pilihan raya patut diberi pertimbangan.

Perhatian kepada pemeliharaan hubungan tempatan.

Related posts

Leave a Comment