Kes di Indonesia kini 111,455

SINGAPURA mencatat 313 kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam lepas, dengan lima lagi kes import yang semuanya telah diserahkan Notis Duduk Di rumah.

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH) terdapat juga satu kes di dalam komuniti melibatkan seorang pemastautin tetap. Majoriti kes adalah daripada pekerja asing yang tinggal di asrama

Dengan kes terbaharu ini, jumlah keseluruhan kes mencecah 52,825.

Dalam data lengkap yang dikeluarkan lewat semalam, Singapura mengklasifikasikan 704 sebagai kes import, 2,180 kes komuniti dan 49,628 penghuni asrama.

Setakat 12 tengah hari semalam, 46,740 atau kira-kira 90 peratus daripada jumlah keseluruhan kes sudah pulih manakala 117 kes masih di hospital, dan kebanyakannya dalam keadaan stabil.

INDONESIA terus mencatatkan kes positif Covid-19 di mana 1,519 kes baharu dicatatkan dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah keseluruhan kes 111,455.

Menurut data di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, www.covid19.go.id hari ini, sebanyak 63,366 pesakit masih dalam pemantauan.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 43 lagi kematian dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan korban 5,236 orang.

Jawa Timur mencatatkan kes positif tertinggi iaitu 22,504 diikuti Jakarta (22,144).

Provinsi Jawa Timur turut mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 1,719 orang diikuti Jakarta (844), Jawa Tengah (655), Sulawesi Selatan (321) dan selebihnya di wilayah lain.

FILIPINA sehingga pukul 4 petang hari ini, 2 Ogos 2020, Jabatan Kesihatan (DOH) melaporkan 5,032 kes yang disahkan berdasarkan ujian oleh 70 makmal. Jumlah ini tertinggi dalam kes harian.

Setakat ini jumlah keseluruhan kes Covid-19 adalah 103,185.

DOH juga mengumumkan 301 pemulihan yang  membawa jumlah pesakit pulih sebanyak 65,557.

Sebanyak 20 kematian dilaporkan menjadi jumlah keseluruhan 2,059.

THAILAND merekodkan lima kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah kes 3,317 dengan jumlah kematian kekal 58.

Kesemua kes baharu melibatkan mereka yang tiba di Thailand dari Rusia, Indonesia, Bahrain, Jerman dan Jepun.

Kes dari Rusia melibatkan seorang pelajar lelaki berusia 21 tahun yang tiba pada 20 Julai dan dikuarantin di Bangkok manakala seorang lagi lelaki, 25 yang dikuarantin selepas tiba dari Indonesia.

Kes berikutnya, seorang wanita, 31 yang baru pulang dari Bahrain pada 19 Julai.

Satu lagi kes melibatkan lelaki berusia 37 tahun yang dikuarantin di Chon Buri selepas pulang dari Jerman manakala seorang lagi melibatkan wanita berusia 47 tahun yang tiba dari Jepun pada Rabu dan disahkan positif pada Jumaat.

Related posts

Leave a Comment