Koo Ham mohon maaf, tiada niat campur tangan

SEPANG 30 Dis. – Selepas dikecam pelbagai pihak berhubung kenyataan yang dianggap mencampuri hal ehwal agama Islam, Ahli Parlimen Beruas  Ngeh Koo Ham akhirnya tampil memohon maaf.

Beliau juga menarik balik cadangannya supaya melantik pakar bukan Islam dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-undang Islam yang ditubuhkan awal bulan ini.

Dalam satu kenyataan, beliau mengakui tidak mengetahui bahawa jawatankuasa tersebut dibentuk oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Oleh itu saya dengan ini menarik balik cadangan saya dan memohon maaf dengan tulus hati. Saya tiada niat langsung untuk campurtangan dalam hal ehwal agama Islam,” katanya.

Koo Ham dalam kenyataan media pada 28 Disember lalu menyarankan kerajaan melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas berkenaan bagi mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat.

Bagaimanapun , cadangan Koo Ham menimbulkan kecaman daripada beberapa pemimpin Melayu antaranya UMNO dan pembangkang.

Malah, Sultan Selangor, turut bertitah supaya orang bukan Islam tidak masuk campur dan menghormati urusan hal ehwal Islam.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook pula berkata, cadangan Koo Ham itu suatu kekhilafan dan partinya menghormati kebijaksanaan Sultan Selangor selaku pengerusi MKI dalam membuat keputusan.

Koo Ham dalam kenyataan maafnya berkata, beliau menjangkakan proses ini akan melibatkan cadangan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan dan hasratnya mahu memastikan semua pandangan diambil kira sebelum pindaan di buat.

Nnn

Related posts

Leave a Comment