Angka mangsa banjir meningkat

SEPANG 28 Dis. – Sebanyak 26,827 mangsa banjir direkodkan di 16 daerah di lima negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah sehingga pukul 12 tengah hari ini, berbanding 25,849 semalam.

Berdasarkan Laporan Harian Bencana Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), ia membabitkan 8,486 keluarga yang ditempatkan di 130 pusat pemindahan sementara (PPS).

Menurut NADMA, tiga daerah yang paling teruk terjejas ialah Pasir Mas, Kelantan membabitkan 18,293 mangsa daripada 5,958 keluarga, diikuti Dungun, Terengganu (2,966 mangsa, 834 keluarga) dan Tumpat, Kelantan (1,732 mangsa, 592 keluarga).

Turut terjejas 13 daerah lain iaitu Kuala Krai dan Tanah Merah, Kelantan;  Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Kemaman dan Maran di Terengganu;

Jerantut dan Kuantan di Pahang; Segamat dan Mersing di Johor serta Pitas, Sabah.

Bagaimanapun umlah PPS yang dibuka berkurang berbanding 185 buah, semalam.

Setakat ini tiga kematian dilaporkan akibat banjir Monsun Timur Laut (MTL), membabitkan seorang kanak-kanak lelaki di Kota Bharu, Kelantan pada 26 November lalu.

Selain itu, masing-masing seorang kanak-kanak perempuan juga direkodkan menjadi korban banjir di Pasir Mas, Kelantan, Ahad lalu dan di Pasir Mas, Kelantan, kelmarin.

Menurut NADMA, bagi tempoh 11 November hingga hari ini, secara kumulatif seramai 18,354 keluarga dan 59,873 mangsa ditempatkan di PPS, dengan anggaran bilangan rumah yang masih terkesan dengan banjir MTL sebanyak 8,486 rumah.

Berdasarkan rekod kawasan hotspot dan cerun kritikal Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) hari ini, terdapat kawasan yang berisiko mengalami tanah runtuh di kawasan dilanda banjir, iaitu Tanah Merah dan Gua Musang (Jalan Lojing-Gua Musang).

Sehingga Selasa lalu, terdapat sembilan kejadian tanah runtuh di seluruh negara iaitu masing-masing empat di Pahang dan Selangor serta satu di Sarawak.

Menurut NADMA, terdapat 87 institusi pendidikan masih dijadikan PPS membabitkan 68 sekolah rendah, 18 sekolah menengah dan sebuah kolej vokasional di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sabah.

Sebanyak 3,739 murid dan 134 guru masih berada di PPS, iaitu 3,465 murid dan 131 guru di Kelantan, 245 murid dan tiga guru di Terengganu serta 29 murid di Pahang.

Related posts

Leave a Comment