4 lelaki cuba bawa masuk vape ditahan

SINGAPURA 28 Dis. – Cubaan empat lelaki untuk membawa masuk vape dari Malaysia melalui Pusat Pemeriksaan Tuas gagal apabila mereka ditahan ketika satu pemeriksaan kereta yang mereka naiki pada 21 Disember lalu,

Suspek yang berusia 16, 18, 20 dan 24 tahun ditahan untuk siasatan dua hari selepas pihak berkuasa Singapura mengumumkan bahawa ia akan mengetatkan lagi pemeriksaan penguatkuasaan di pusat pemeriksaan bagi membanteras vape.

Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dalam kenyataan bersama menyatakan hasil siasatan menunjukkan suspek  membeli vape dan komponen berkaitan dari sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru.

Mereka kemudian cuba memasuki Singapura menaiki sebuah kereta yang disewa daripada platform kongsi kereta.

Bagaimanapun para pegawai ICA di Pusat Pemeriksaan Tuas mengarahkan kereta berdaftar di Singapura itu untuk menjalani pemeriksaan kedua.

Hasil pemeriksaan, para pegawai menemui 25 vape dan komponen-komponen berkaitan yang disembunyikan di bawah tempat duduk pemandu dan penumpang, dalam beg makanan dan dalam salah satu pakaian tertuduh.

Vape dan komponen-komponennya yang dirampas dianggarkan bernilai lebih S$200.

Dalam pada itu, HSA mengingatkan bahawa ia tidak akan teragak-agak mengambil tindakan penguatkuasaan tegas terhadap sesiapa sahaja yang menjalankan kegiatan haram seperti mengimport atau menjual vape kepada orang ramai.

Di bawah Akta (Kawalan Iklan dan Penjualan) Tembakau, sesiapa sahaja yang disabitkan dengan kesalahan sedemikian buat kali pertama boleh dihukum penjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$10,000, atau kedua-duanya sekali.

Pesalah berulang boleh dihukum penjara sehingga 12 bulan, didenda sehingga S$20,000, atau kedua-duanya sekali.

Pemilikan, penggunaan atau pembelian vape menyalahi undang-undang dan boleh dikenakan denda maksimum S$2,000.

Pihak berkuasa Singapura sebelum ini mengingatkan akan meningkatkan pemeriksaan bagi mengekang penggunaan vape di pusat pemeriksaan udara, darat dan laut dalam tempoh beberapa bulan akan datang, bermula dengan Lapangan Terbang Changi.

Penumpang yang masuk mungkin akan disaring untuk vape dan komponennya di balai ketibaan dan mereka didapati memiliki e-vaporiser atau komponennya akan didenda.

Difahamkan penumpang membawa e-vaporiser mesti melalui Lorong Merah yang dikenakan terhadap individu memiliki barang untuk diisytiharkan supaya barangan terlarang itu dapat dibuang.

Pelancong yang mengisytiharkan dan menyerahkan barang-barang ini di Lorong Merah tidak akan dikenakan denda.

Related posts

Leave a Comment