Calon Amanah, UMNO kalah kerana dakwaan Islam terancam

KLANG 24 Dis. –  Mohamad Sabu mendakwa orang Melayu menolak calon-calon Amanah dan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) disebabkan pihak tertentu membuat dakwaan kononnya Islam terancam.

Presiden Amanah itu berkata sentimen itu memikat pemikiran rakyat termasuk pengundi- pengundi di kawasan yang diduduki golongan bijak pandai.

“Isu Islam terancam ini memang memikat pemikiran rakyat sehingga kita melihat tokoh daripada Amanah, tokoh daripada UMNO kalah. Seorang menteri yang kerja kuat pun kalah dengan sepupu.

Mahfuz Omar cukup hebat pun kalah dengan majoriti 31,000 undi. Puteri reformasi, Nurul Izzah Anwar kalah di (Parlimen) Permatang Pauh, tempat lahirnya reformasi. Ini akibat slogan yang dimainkan Islam terancam.

Persepsi diterima oleh orang Melayu, termasuk di kawasan ‘intellectual’. Ini yang kita hadapi dan kita (Amanah) kena rungkai di mana (dakwaan) terancamnya Melayu Islam,” katanya pada ucapan penggulungan Konvensyen Nasional Amanah 2023 di sini, hari ini.

Mohamad dalam ucapannya turut menegaskan Amanah berikrar mempertahan golongan bukan Islam sekiranya berlaku penindasan kepada kumpulan itu, selaras pendekatan ‘rahmatan lil alamin’ dibawa parti.

“Kita mahu ramai lagi orang bukan Islam bersama dalam perjuangan kita kerana Islam rahamtan lil alamin, bukannya hanya Melayu, bukannya India dan bukannya Cina saja, tetapi rahmat untuk semua ini yang perlu kita kumandangkan.

“Dalam kita berlawan dengan Pas, kita jangan ambil cara Pas. Kita kena ambil cara kita iaitu mengetengahkan rahmat untuk semua. Sekarang ini penindasan berlaku kepada rakyat Palestin. Satu hari katalah berlaku penindasan kepada orang bukan Islam, Amanah kena bela golongan bukan Islam itu,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan yakin bahawa Kerajaan Perpaduan yang terbina hasil daripada gabungan pelbagai parti akan terus dapat dipertahankan, menyifatkan ‘bumbungnya’ kini sudah kukuh.

“Saya yakin jika perpaduan kita elok, pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), insya-Allah Kerajaan Perpaduan kembali memerintah dengan lebih bergaya.

“Kita tak boleh melihat di empat negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Perlis dan Kedah, hanya (menang) satu Parlimen yang kita peroleh tetapi kalau campurkan dengan undi Barisan Nasional (BN) dan undi Pakatan Harapan (PH) kita akan memperoleh banyak kerusi di empat negeri itu.

“… dengan kekuatan sedia ada di Sabah, Sarawak, Johor, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Melaka dan lain-lain, kita dapat kembali memerintah dengan lebih selesa pada PRU akan datang,” ujar beliau

Related posts

Leave a Comment