PUTRAJAYA 20 Dis. – Sebanyak 234 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) disediakan di klinik kesihatan seluruh negara bagi memudahkan orang ramai mendapatkan vaksin Covid-19 sama ada secara ‘walk-in’ atau membuat janji temu.
Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad dalam satu kenyataan berkata, orang ramai boleh merujuk aplikasi MySejahtera untuk mengetahui senarai PVV yang disediakan.
Katanya , orang ramai boleh membuat janji temu menggunakan aplikasi MySejahtera, sebagaimana tatacara tempahan semasa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebelum ini.
Beliau juga menegaskan pengambilan vaksin Covid-19 pada masa ini adalah secara sukarela, tetapi KKM menggalakkan pengambilannya terutama kepada golongan berisiko tinggi seperti warga emas atau individu yang mempunyai komorbiditi.
“KKM menyarankan setiap warga Malaysia memainkan peranan dan tanggungjawab untuk melindungi diri daripada jangkitan dan tidak menularkan Covid-19 kepada orang lain dengan mengamalkan 3W (Wash, Wear dan Warn) serta mengelak 3S (elakkan kawasan sesak, sempit dan sembang dengan jarak dekat),” katanya.
