Amanah Selangor desak persempadanan semula Parlimen

KAJANG 17 Dis. –  Konvensyen Amanah Selangor meluluskan usul mendesak kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan persempadanan semula bagi kawasan Parlimen di seluruh negara menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Usul Amanah Selangor itu antara lain bertujuan memberi nisbah bilangan pengundi lebih adil antara kawasan Parlimen itu, disokong sebulat suara lebih 300 perwakilan yang hadir, selepas dikemukakan Timbalan Pengerusinya, Azli Yusof.

Perwakilan turut menyokong usul supaya SPR menambah bilangan kawasan Parlimen yang sesuai dengan peningkatan ketara jumlah pengundi yang tertumpu di kawasan bandar dan pinggir bandar.

Azli berkata, usul berkenaan mengambil kira persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dilaksanakan pada 2018 dan sudah ada lebih dua pertiga Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan untuk membolehkan pertambahan bilangan kawasan Parlimen.

Konvensyen ini turut meluluskan usul daripada Amanah Sabak Bernam supaya pimpinan tertinggi parti memastikan wakil Amanah diberikan hak untuk memegang jawatan Penyelaras Parlimen Sabak Bernam.

Ia berikutan jawatan itu kini diberikan kepada PKR walaupun kerusi Parlimen itu ditandingi Amanah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), tetapi tewas.

Sementara itu, usul Angkatan Wanita Amanah (Awan) Gombak supaya kuota 30 peratus kepemimpinan wanita perlu dimasukkan dalam perlembagaan parti ditolak, sekali gus mengekalkan ia sebagai dasar parti.

Dalam pada itu satu usul diterima tanpa bahas daripada Amanah Subang, iaitu untuk menghidupkan kembali program merakyatkan Pakatan Harapan (PH) dan membumikan program kebajikan negeri.

Related posts

Leave a Comment