Kes Covid-19 terus meningkat

PUTRAJAYA 17 Dis. –  Sebanyak 20,696 kes Covid-19 dilaporkan di seluruh negara antara tempoh seminggu bermula 10 hingga 16 Disember lalu, meningkat hampir 8,000 kes berbanding minggu sebelumnya.

Menurut hantaran di platform X oleh Covid19Place, jumlah kes aktif direkodkan pada minggu ini adalah 28,375 kes dengan jumlah kematian dalam tempoh itu adalah sebanyak 28 kes, manakala tertinggi di Selangor dengan 6,449 kes.

Laporan sama menunjukkan 588 pesakit sedang menerima rawatan di hospital, 22 orang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), manakala 14 kes memerlukan penggunaan ventilator.

Jumlah kes baharu meningkat dua kali ganda sejak awal bulan ini di mana pada

3 hingga 9 Disember lalu, sebanyak 12,757 kes dilaporkan di seluruh negara dengan angka kematian 11 kes.

Sehingga 2 Disember lalu, Malaysia hanya merekodkan 6,796 kes baharu, enam kematian dan 15,327 kes aktif.

Susulan peningkatan kes yang semakin membimbangkan, Kementerian Kesihatan (KKM) menggalakkan orang ramai memakai pelitup muka, terutama ketika musim cuti sekolah.

KKM turut menasihatkan mereka yang menunjukkan simptom Covid-19 supaya mengelak 3C yang merujuk kawasan sempit, sesak dan bersembang pada jarak dekat.

Related posts

Leave a Comment