KUALA LUMPUR 15 Dis. – Perubahan politik yang sedang berlaku dengan ‘deras’ di negara ini tidak lagi memberi jaminan hanya orang Melayu Islam boleh dilantik sebagai Perdana Menteri, kata Muhyiddin Yassin.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, persempadanan semula kawasan pilihan raya juga akan menambah kerusi milik DAP sekaligus mempunyai suara yang lebih besar dalam menentukan siapa Perdana Menteri pada masa akan datang.
Beliau mendakwa, Perlembagaan Persekutuan juga tidak mensyaratkan hanya orang Melayu boleh menjadi Perdana Menteri.
“Sekiranya majoriti Ahli Dewan Rakyat, termasuk Melayu dan bukan Melayu, menyatakan kepercayaan kepada seorang Ahli Dewan Rakyat bukan Melayu untuk dilantik sebagai Perdana Menteri, maka jadilah dia Perdana Menteri,” katanya.
Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian dalam satu kenyataan Orang bukan Melayu menjadi Perdana Menteri”.
Baru-baru ini, veteran DAP Lim Kit Siang mencetuskan kontroversi melalui kenyataan di Manchester, United Kingdom pada 29 November lalu, menyebut ‘tiada sekatan dalam Perlembagaan untuk bukan Melayu menjadi Perdana Menteri’.
Kenyataan berkaitan ‘Impian Malaysia’ oleh Kit Siang itu dibuat ketika beliau berucap di hadapan kumpulan pelajar Malaysia di sana.
Bagaimanapun hari ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, sejak merdeka hingga sekarang, calon Perdana Menteri ialah Melayu dan selepas ini sama ada calon dari kerajaan atau pembangkang, Perdana Menteri juga Melayu.
Justeru katanya, tiada keperluan untuk meminda perlembagaan supaya hanya orang Melayu-Islam boleh menjadi Perdana Menteri.
Muhyiddin mendakwa, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa budi bicara dalam pelantikan Perdana Menteri tetapi ia tidaklah mutlak, tertakluk kepada Ahli Dewan Rakyat itu mendapat kepercayaan majoriti Ahl Dewan Rakyat.
Beliau berkata, pada masa lalu tidak timbul persoalan bolehkah orang bukan Melayu menjadi Perdana Menteri kerana konsep perkongsian kuasa antara kaum yang diamalkan oleh Parti Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional (BN) yang membolehkan parti politik Melayu iaitu UMNO mengetuai satu perikatan politik besar atau “grand coalition” yang sentiasa mendapat mandat rakyat secara jelas.
“Apabila Perikata / Barisan asional menang pilihan raya, maka ketua parti itu iaitu seorang Melayu dari UMNO dilantik sebagai Perdana Menteri. Itulah yang berlaku dalam 13 kali pilihan raya umum di negara ini,” katanya.
Bagaimanapun perubahan berlaku dalam Pilihan Raya Umum ke-14 apabila BN kalah dan perubahan lebih besar berlaku dalam Pilihan Raya Umum ke-15 apabila ada mana-mana parti atau gabungan parti memperoleh bilangan kerusi majoriti.
“Tidak ada mana-mana ketua parti atau ketua gabungan parti politik yang secara automatik boleh dilantik sebagai Perdana Menteri. Ia bergantung kepada siapa yang mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.
Dalam keadaan inilah rundingan antara parti berlaku dalam menentukan siapa menjadi Perdana Menteri. Inilah perubahan yang sedang berlaku dalam lanskap politik negara kita,”kata Muhyiddin.
Beliau berkata, selepas pindaan Perlembagaan mengenai lompat parti, wakil rakyat ini pula terikat dengan keputusan parti.
“Jika pada masa akan datang ketua parti mereka atas apa jua alasan atau kepentingan memutuskan untuk menyokong seorang bukan Melayu sebagai Perdana Menteri, wakil rakyat itu mesti patuh.
Jika tidak patuh mereka berisiko terlucut keahlian parti, terpaksa mengosongkan kerusi yang disandang dan mesti membayar pampasan bernilai ratusan juta ringgit.
Maka jadilah orang bukan Melayu sebagai Perdana Menteri,” katanya.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu juga mendakwa, UMNO yang dahulunya dominan, menjadi parti kecil dalam pakatan politik yang dikuasai oleh DAP menyebabkan apa yang dituntut DAP akan dituruti UMNO.
Katanya, sejarah perjuangan UMNO yang diasaskan oleh Dato’ Onn Jaafar ketika menentang Malayan Union dahulu demi mempertahankan hak orang Melayu sudah diterbalikkan oleh pemimpin UMNO hari ini.
“Insya-Allah, Perikatan Nasional akan terus istiqamah berjuang untuk mempertahankan hak dan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera serta kepentingan yang sah untuk semua kaum seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Nnnn
