Bekas Presiden ABIM pimpin Bersih

KUALA LUMPUR 15 Dis. – Bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Faisal Abdul Aziz menang tipis sebagai Pengerusi Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menewaskan, Gopalan K Papachan.

Dalam proses pengundian hari ini, Faisal menang dengan perbezaan satu undi di mana beliau memperoleh 23 undi berbanding 22.

Pelantikan Faisal itu adalah bagi menggantikan Thomas Fann, yang meletak jawatan bulan lepas dan tempoh perkhidmatan sebagai pemimpin Bersih ini adalah sehingga tahun 2025.

Jawatankuasa pemilihan Bersih dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa pengundian itu dilakukan secara dalam talian dengan wakil 45 daripada 61 badan bukan kerajaan (NGO) dalam gabungan Bersih membuang undi.

Faisal yang memimpin ABIM dari tahun 2019 sehingga 2023 dan Timbalan Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) daripada 2018 sehingga ke 2020 adalah mantan Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) 2009-2011.

Beliau adalah pemegang Sarjana Perundangan daripada Universiti Teknologi Mara dan Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bersama Syariah.

Faisal telah memainkan peranan yang utama dalam pelbagai projek seperti Misi Penilaian Pelarian Palestin, serta membina jambatan bagi masyarakat yang lebih inklusif melalui Kempen Bangsa Malaysia semasa beliau menjadi Presiden ABIM.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment