Rafizi jemput ‘YB Viral’ sertai podcast “Yang Bakar Menteri”

KUAA LUMPUR 15 Dis. –  Menteri Ekonomi Rafizi Ramli telah menghantar surat jemputan kepada pempengaruh  “YB Viral” sebagai jurucakap undangan untuk bersamanya menyertai podcast “Yang Bakar Menteri” pada 8 Januari depan.

Rafizi berkata, jika pempengaruh itu berani, “YB Viral” tidak perlu berselindung  sebaliknya boleh tampil dengan mengisi borang maklumat peribadi dan mengembalikan borang berkeaan ke pejabatnya.

“Insya-Allah saya bagi ruang seluasnya untuk dia bakar saya dan buktikan saya menteri paling bodoh, seperti yang dijerit-jeritnya selama ini,” kata Rafizi dalam hantaran melalui Facebooknya.

Ahli Parlimen Pandan itu yang sebelum ini sering muncul di pentas debat mengambil pendekatan podcast bagi menangani apa yang disifatkannya budaya menyebarkan fitnah dan pembohongan melalui media sosial.

Katanya, melalui media sosial, mereka akan memainkan sentimen demi sentimen yang tidak memberikan gambaran dan perspektif sebenar, yang akhirnya memesongkan kefahaman rakyat mengenai satu-satu perkara.

“Budaya ini perlu ditangani. Cara menanganinya adalah supaya pimpinan politik seperti saya berdepan sendiri dengan rakyat dalam satu sesi untuk menjawab dan bertanya. Rakyat tanya saya jawab, saya tanya kepada rakyat (untuk berkongsi pemahaman), maka wajarlah rakyat jawab.

“Tetapi dengan syarat janganlah berselindung di belakang identiti digital yang disalahguna untuk mencipta pembohongan. Bila berdepan dengan identiti sendiri, bersedialah untuk disaman dan diambil tindakan undang-undang jika ada fitnah yang dibuat,” kata Ahli Parlimen Pandan itu.

Rafizi mengingatkan , budaya menyebarkan pembohongan sewenang-wenangnya  mendedahkan ramai rakyat Malaysia kepada tindakan undang-undang, lebih berbahaya, netizen yang membuat komen kepada kandungan-kandungan pempengaruh ini, yang menambah lagi pembohongan dan kebencian.

Related posts

Leave a Comment