Mat Sabu gembira Dr Dzulkefli kembali ke KKM

PUTRAJAYA 13 Dis. – Presiden Amanah Mohamad Sabu gembira di atas pelantikan Dr Dzulkefly Ahmad sebagai Menteri Kesihatan, jawatan yang pernah disandang ahli Parlimen Kuala Selangor itu ketika di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, Dr. Dzulkefly, dianggap membuat kejayaan terbaik semasa 22 bulan menjadi Menteri Kesihatan di bawah Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang diterajui Dr Mahathir Mohamad.

“Di Amanah, kita kekal dengan dua menteri penuh, dua timbalan menteri dan saya mengharapkan Kabinet ini akan menjalankan tugas yang terbaik dikehendaki oleh Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan melalui video.

Mohamad yang dikekalkan sebagai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan memuji sikap Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mengambil pandangan serta pendapat pelbagai pihak dalam merombak barisan Kabinet.

Katanya, walaupun ia merupakan hak mutlak Perdana Menteri untuk melantik menteri dan timbalan menteri yang dirasakan sesuai dengan pentadbirannya, Anwar tetap mengambil kira kedudukan parti dan juga pendapat umum.

Menurut Mohamad, Perdana Menteri telah membuat rombakan dan memilih yang dianggap terbaik untuk Kabinetnya..

Mohamad turut berharap agar semua barisan menteri dan timbalan menteri yang dilantik atau ditukar portfolio akan menjalankan tugas dengan baik termasuk juga dirinya selagi diberi kepercayaan oleh Perdana Menteri.

Melalui rombakan itu, jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang sebelum ini disandang Amanah diberikan kepada Ahli Parlimen dari Gabungan Parti Sarawak (GPS), Armizan Mohd Ali.

Armizan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebelum ini diberi tanggungjawab memangku jawatan Menteri KPDN berikutan kematian Salahuddin Ayub yang juga Timbalan Presiden Amanah pada 23 Julai 2023.

Related posts

Leave a Comment