Cadangan Sultan Johor tidak boleh diambil ringan

KUALA LUMPUR 13 Dis. – Kenyataan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Petronas melapor terus kepada Yang di-Pertuan Agong tidak boleh diambil ringan, kata Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri itu berkata keinginan yang disampaikan oleh Sultan Johor itu jika menjadi kenyataan akan menimbulkan beberapa persoalan penting berkait dengan peranan Raja-Raja Melayu sebagai Raja Berperlembagaan.

“Perlembagaan serta undang-undang tubuh negeri telah menggaris secara terperinci peranan, tanggungjawab serta bidang kuasa setiap raja yang memerintah negeri-negeri serta juga Yang di-Pertuan Agong.

“Sebelum kuasa raja-raja dan Yang di-Pertuan Agong diperincikan dalam perlembagaan yang disediakan untuk Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka, pihak raja-raja mudah dipaksa oleh British supaya menyerah negeri-negeri mereka kepada British dan mereka menjadi raja yang tidak ada negeri.

Untuk elak dari tekanan seperti ini konsep raja berperlembagaan disyor dan diterima.

“Hari ini tekanan perlu dibuat juga kepada Parlimen. Hanya jika raja dan Parlimen bersetuju barulah sesuatu undang-undang atau dasar atau keputusan boleh dibuat. Agihan kuasa antara dua pihak lebih selamat dari kuasa mutlak,” kata Dr Mahathir menerusi kenyataan di Facebook.

Baru-baru ini, Sultan Ibrahim dalam wawancara bersama akhbar Singapura menyatakan hasrat baginda supaya SPRM dan Petronas melaporkan terus kepada Agong bagi memastikan dua ins­titusi penting negara itu bebas daripada campur ta­ngan badan eksekutif.

“Sejak zaman moyang saya, kami adalah pemburu yang hebat. Beta akan pastikan apabila pergi memburu, beta bawa pulang hasil yang baik.

“Tetapi apabila beta di KL, ia hutan konkrit. Jadi apa yang beta buru? Beta akan buru semua orang yang korup, beta akan pastikan akan ada hasil,” titah Sultan Ibrahim.

Tegas baginda lagi, dengan SPRM diletakkan terus di bawah Agong dan bukannya Parlimen, ia akan dapat menjamin kebebasan suruhanjaya itu.

“Ini bermakna anda tidak di bawah pengaruh mana-mana pihak dalam eksekutif.
Malah Petronas juga tidak seharusnya di bawah Parlimen, melapor terus kepada beta,” titah baginda.

Sementara itu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata cadangan itu boleh dibincangkan dan tidak akan menggugat kuasa dan peruntukan Perlembagaan Negara.

“Kita boleh runding dengan baik tetapi prinsip Perlembagaan, (sistem) demokrasi berparlimen, Raja Berperlembagaan itu tetap dipertahankan dan kita junjung prinsip yang sama,” katanya kepada media selepas merasmikan dua pameran seni di Muzium Kesenian Islam, malam tadi.

Anwar berkata sepatutnya tidak ada kebimbangan kalau ada pandangan termasuk daripada Sultan Johor mengenai perkara itu.
Nnn

Related posts

Leave a Comment