Kren tumbang: 40,000,penumpang KTM Komuter, ETS terjejas

RAWANG 13 Dis. – KTMB menjangkakan 20,000 penumpang komuter dan 10,000 penumpang ETS terjejas membabitkan 46 perkhidmatan komuter dan 32 ETS hari ini susulan kren tumbang di Kilometer (KM) 355.749 antara Rawang dan Kuang, Selangor petang semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB,  Mohd Rani Hisham Samsudin berkata, angka ini akan terus berlarutan sehingga operasi perkhidmatan komuter dan ETS kembali pulih selepas kerja baik pulih dijangka siap dalam tempoh 24 jam.

Katanya, kerja membaik pulih kren binaan projek parkir bertingkat yang tumbang di tepi landasan KTMB di Kilometer (KM) 355.749 membabitkan pemasangan kabel, penggantian komponen yang rosak dan pengujian bekalan elektrik.

“Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan dan pihak KTMB juga menggerakkan Bilik Gerakan Bencana sejak petang semalam. Tindakan awal yang diambil KTMB juga adalah membuat isolasi terhadap laluan terjejas kerana banyak litar pintas yang berlaku akibat insiden terbabit.

“Insiden semalam menyebabkan 10,000 penumpang terjejas membabitkan 7,000 penumpang komuter dan 3,000 penumpang perkhidmatan tren elektrik (ETS) selepas kejadian berlaku hingga tengah malam tadi,” katanya pada sidang media di Stesen Rawang, di sini, hari ini.

Susulan kejadian itu, perkhidmatan KTM Komuter laluan KL Sentral – Tanjong Malim ditamatkan di Stesen Sungai Buloh manakala laluan Tanjong Malim – KL Sentral ditamatkan di Serendah. Bas perantara disediakan di antara Stesen Sungai Buloh dan Serendah.

Bagi ETS pula, laluan Padang Besar Gemas, tren ditamatkan di Stesen Tanjong Malim. Bas perantara disediakan dari Stesen Tanjong Malim ke Sungai Buloh bagi meneruskan perjalanan ke KL Sentral dan Gemas dengan menaiki tren

Bagi laluan Gemas – KL Sentral – Butterworth dan Gemas- KL Sentral – Padang Besar, penumpang diatur menaiki tren ETS dari KL Sentral ke Sungai Buloh seterusnya dibawa menaiki bas ke Tanjong Malim untuk meneruskan perjalan ke stesen masing:masing dengan menaiki ETS.

Berikutan kejadian itu juga! KTMB menawarkan pemulangan wang melalui KTMB Wallet bagi penumpang yang tidak ingin meneruskan perjalanan.

Mohd Rani menjelaskan, kren Perbadanan Aset Keretapi (RAC) yang tumbang menyebabkan talian atas ‘overhead line’ dua-dua jajaran kereta api terputus pada kira-kira pukul 5.53 petang semalam sekali gus mengakibatkan perkhidmatan KTMB mengalami gangguan.

“Kren binaan terbabit mendap di kawasan pembinaan mengakibatkan condong ke arah landasan dan bahagian atas kren patah menimpa landasan.

“Struktur yang jatuh bukan sahaja menimpa landasan malahan memutuskan talian babitkan empat bahagian kren yang jatuh atas landasan namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan” katanya.

Beliau berkata, insiden terbabit menjejaskan perkhidmatan ETS dan KTM Komuter Lembah Klang untuk laluan KL Sentral ke Tanjung Malim dan kereta api kargo.

Mohd Rani berkata, bekalan elektrik yang terjejas membabitkan laluan dari Rawang hingga Kepong Sentral.

“Pihak KTMB sudah mengehadkan jarak isolasi terbabit dari Kuang ke Rawang sahaja bagi memastikan kawasan berkenaan selamat untuk kerja baik pulih dan pembaikan,” katanya.

 

Related posts

Leave a Comment