Tanding Bebas, GRS kekal kukuh – Hajiji

KOTA KINABALU 17 Nov.  – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kekal kukuh walaupun beberapa pemimpin dalam gabungan itu meninggalkan parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, kata Ketua Menteri  Hajiji Noor.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata,  tindakan beberapa individu yang memilih untuk berpindah parti atau bertanding sebagai calon Bebas adalah hak masing-masing, dan ia tidak menjejaskan kekuatan GRS dalam menghadapi pilihan raya.

“GRS masih intact, masih kuat. Ada yang pindah parti, ada yang jadi calon Bebas, itu hak mereka. Tetapi itu tidak menjejaskan kekuatan GRS dalam pilihan raya kali ini. Kita juga ada strategi sendiri,” katanya selepas melancarkan Manifesto GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini.

Hajiji berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan terbaharu melibatkan beberapa pihak yang menarik diri daripada gabungan tertentu.

Beliau berkata, fokus utama GRS adalah memastikan kestabilan politik negeri, kesinambungan agenda pembangunan dan memperoleh mandat jelas daripada rakyat Sabah bagi penggal seterusnya.

Sekurang-kurangnya enam bekas wakil rakyat meninggalkan GRS dan bertanding sebagai calon Bebas di kawasan masing-masing.

Mereka adalah penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan, Fairuz Renddan, yang juga bekas Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Awang Ahmad Sah Sahari (DUN Petagas), Rina Jainal (DUN Kukusan), Dr Roland Chia (DUN Inanam),  Dr Maijol Mahap (DUN Bandau) dan Mohd Ismail Ayob (DUN Lamag).

 

Foto

Enam bekas wakil rakyat GRS bertanding Bebas.
Atas dari kiri Fqiruz Renddan, Awang Ahmad Sah, Rina Jainal
Bawah kiri Dr Roland Chia, Dr Maijol Mahap dan Mohd Ismail Ayob

Related posts

Leave a Comment