PKR diwakili 8 menteri, enam timbalan

PARTI Keadilan Rakyat (PKR) diwakili lapan menteri penuh termasuk Perdana Menteri dan enam timbalan menteri dalam rombakan Kabinet yang diumumkan hari ini setahun selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Selain Perdana Menteri, Presiden PKR Anwar Ibrahim juga menjadi Menteri Kewangan, manakala Timbalan Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli dikekalkan sebagai Menteri Ekonomi.

Setiausaha Agung PKR, Senator Saifuddin Nasution Ismail juga kekal sebagai Menteri Dalam Negeri.

Naib Presiden Chang Lih Kang pula kekal sebagai Menteri Sains dan Teknologi; seorang lagi Naib Presiden, Nik Nazmi Nik Ahmad mengetuai Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, iaitu pecahan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang diterajuinya sebelum ini.

Ketua Penerangan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil pula mengetuai Kementerian Komunikasi iaitu pecahan Kementerian Komunikasi dan Digital.

Ketua Wanita Keadilan, Fadhlina Sidek kekal di Kementerian Pendidikan dan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti Dr Zaliha Mustafa yang sebelum ini Menteri Kesihatan kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

Barisan Timbalan Menteri pula terdiri daripada Pengarah Strategi Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang bertukar portfolio dari Pembangunan Kerajaan Tempatan kepada kementerian baharu iaitu Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam.

Pengerusi Institut Latihan Keadilan Fuziah Salleh kekal di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup; Naib Presiden Saraswathy Kandasami berpindah ke Perpaduan dari Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi,

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Adam Adli Abd Halim kekal di Kementerian Belia dan Sukan; Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud sebelum ini Timbalan Menteri Sumber Manusia kini di Kementerian Pendidikan Tinggi dan muka baharu, Ahli Parlimen Sungai Buloh, Ramanan Ramakrishnan di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Related posts

Leave a Comment