TANJONG 12 Dis. – Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying menyifatkan jawatan baharu sebagai Timbalan Menteri Kewangan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini sebagai cabaran baharu buat dirinya.
Beliau yang menghargai tanggungjawab itu berikrar berusaha sedaya upaya menunaikan amanah yang baharu digalas berlandaskan dasar Kerajaan Perpaduan dan visi Perdana Menteri, serta mengamalkan prinsip integriti mulia.
“Saya akan memikul amanah dan tanggungjawab yang penting ini dengan sebaik yang mungkin dan memberikan keutamaan, komitmen yang tinggi dan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Malaysia,” katanya.
Dalam rombakan Kabinet hari ini, Setiausaha DAP Pulau Pinang itu diumumkan sebagai Timbalan Menteri Kewangan di bawah Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan.
Adik Pengerusi DAP Lim Guan Eng itu sebelum ini adalah Timbalan Menteri Pendidikan dan pelantikannya secara tidak langsung mengisi kekosongan Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim sebelum ini yang kini menjadi menteri penuh di Kementerian Sumber Manusia.
Hui Ying, 60 melalui kenyataan di Facebooknya hari ini turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas kepercayaan yang diberi bagi membantu dalam usaha pembangunan negara.
“Harapan rakyat adalah sangat tinggi dan barisan Menteri dan Timbalan Menteri Kerajaan Perpaduan telah diberi tanggungjawab untuk memperjuangkan kebaikan rakyat dan negara.
Pengalaman sebagai Timbalan Menteri Pendidikan akan dapat membantu saya menjalankan tugas berkaitan perbendaharaan negara bersama dengan Menteri Kewangan,” katanya.
Hui Ying turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, yang telah menjadi rakan seperjuangannya sejak mereka dilantik sebagai Ahli Dewan Negara mewakili Pulau Pinang.
Anak perempun veteran DAP Lim Kit Siang itu juga menyampaikan penghargaan kepada pucuk pimpinan DAP terutama Setiausaha Agung DAP merangkap Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang mencadangkan namanya untuk menggalas tanggungjawab berat tersebut.
Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Ketua Setiausaha KPM, Datuk Indera Nik Nasarudin Mohd Zawawi, bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali, seluruh warga kerja KPM, Lembaga Pengelola Sekolah serta pihak sekolah yang memberi khidmat nasihat dan kerjasama penuh sepanjang tempoh perkhidmatannya di KPM.
“Tidak lupa juga kepada pertubuhan bukan kerajaan berkaitan pendidikan. Terima kasih atas dedikasi, komitmen dan kerjasama anda semua dalam memperjuangkan isu-isu pendidikan demi semua anak Malaysia,” katanya.
