Mampu bertahan setahun sebelum dirombak semula?

KUALA LUMPUR 12 Dis. – Ketika  Anwar Ibrahim yakin barisan baharu Kabinet yang diumumkannya hari ini akan kekal sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari, meramalkan ‘Kabinet balas budi’ itu akan dirombak semula selepas setahun.

Tanpa memberikan sebab mampu bertahan setahun, Ahli Parlimen Pasir Mas itu bagaimanapun menjelaskan maksud ‘Kabinet balas budi’ iaitu dengan mengekalkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, Ahmad Zahid pernah terpalit dengan tuduhan salah guna kuasa sekali pun telah ‘dibersihkan’ dengan tindakan Peguam Negara yang enggan meneruskan kes.

“Betapa kelirunya pengamal undang-undang sehingga Majlis Peguam memfailkan semakan kehakiman untuk menyemak kuasa dan keputusan Peguam Negara mengeluarkan perintah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden UMNO, berkait kes dana Yayasan Akalbudi.

Namun dalam kabinet PMX ini, beliau terus dikekalkan. Tidak lain hanyalah kerana ia merupakan ‘kabinet balas budi’,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.

Perdana Menteri pada sidang medianya percaya, barisan Jemaah Menteri itu akan kekal jika tidak berdepan sebarang tekanan atau permasalahan baharu.

Dalam pada itu, Ahmad Fadhli turut menyindir Anwar, yang disifatkannya ‘sentiasa betul’ susulan rombakan Kabinet itu.

Beliau mendakwa ketika mengumumkan saiz Kabinet yang dikecilkan sebelum ini, Anwar berkata, tindakan itu bukti kerajaan berjimat tetapi apabila mengambil langkah membesarkan Kabinet, ia memberi alasan tindakan itu sebagai bukti kerajaan prihatin.

“Waktu dia kecilkan Kabinet, ini bukti kerajaan berjimat, kerajaan lepas hanya tahu membazir. Waktu dibesarkan Kabinet, ini bukti kerajaan prihatin. Dia sentiasa betul,” katanya.

Rombakan Kabinet yang diumumkan Anwar, hari ini menyaksikan jumlah keseluruhan Menteri dan Timbalan Menteri meningkat kepada 60 orang, daripada 55 orang sebelum ini di mana Jemaah Menteri meningkat kepada 31 berbanding 28 sebelum ini, manakala jumlah Timbalan Menteri meningkat kepada 29 daripada 27 orang.

Bagaimanapun, jumlah keseluruhan anggota Kabinet itu masih rendah, berbanding 70 anggota ketika pentadbiran kerajaan sebelum ini.

Ahmad Fadhli berkata, selain itu, tiada yang menarik mengenai rombakan itu melainkan hanya bertindak selepas setahun belajar dari kesilapan.

“Contohnya, pemisahan semula bidang kuasa alam sekitar dan air dengan tenaga. Ketika penggabungan kedua-dua bidang kuasa ini dibuat tahun lepas, AJK Pas Pusat Dr Mohd Zuhdi Marzuki yang juga bekas setiausaha politik Menteri KASA era Perikatan Nasional menulis bahawa ia merupakan langkah mundur ke belakang,” katanya.

Begitu juga dengan tindakan menggugurkan Sivakumar dari jawatan Menteri Sumber Manusia sebagai tindakan yang bagus, dan telah disuarakan oleh Pas melalui Ketua Penerangannya pada 28 April 2023 .

“Ketika itu kerajaan kononnya menyatakan bahawa Sivakumar tidak terbabit dengan isu integriti dan tidak boleh dikenakan tindakan kerana belum terbukti bersalah. Nah, hari ini apabila beliau digugurkan, adakah beliau terbukti bersalah?,” katanya.

Menyentuh pelantikan Menteri Kewangan II, beliau berkata, Perdana Menteri akhirnya menyedari, perlu ada seorang menteri penuh untuk menjaga urusan kewangan negara.

“Walaupun Rafizi Ramli (Menteri Ekonomi) menyatakan individu paling sesuai untuk menjawat jawatan Menteri Kewangan ketika ini ialah Perdana Menteri sendiri, tentulah pandangan itu sudah berubah sekarang.

Begitulah formula, ia boleh berubah dengan bertukarnya pembolehubah. Cuma sayang belum tiba masa Datuk Seri Ahmad Maslan menjawat jawatan Menteri Kewangan. Dalam senarai ‘balas budi’ ini, Ahmad Maslan tidak termasuk,” katanya.

Related posts

Leave a Comment