Jumlah anggota Kabinet 60, lima bekas Menteri kembali

KUALA LUMPUR 12 Dis. –  Rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, hari ini turut menyaksikan jumlah keseluruhan Menteri dan Timbalan Menteri meningkat kepada 60 orang daripada 55 orang sebelum ini.

Jumlah Ahli Jemaah Menteri meningkat kepada 31 orang berbanding 28 orang sebelum ini manakala jumlah Timbalan Menteri meningkat kepada 29 orang daripada 27 orang.

Bagaimanapun, jumlah keseluruhan berkenaan masih lagi rendah berbanding jika dibandingkan 70 anggota Kabinet ketika pentadbiran sebelum ini.

Rombakan ini menyaksikan seorang menteri digugurkan iaitu V.Sivakumar yang sebelum ini Menteri Sumber Manusia yang kini diisi oleh Steven Sim Chee Keong, sebelum ini Timbalan Menteri Kewangan II.

Dua Timbalan Menteri turut digugurkan iaitu Ramkarpal Singh (Jabatan Perdana Menteri) dan Datuk Siti Aminah Aching (Perladangan Dan Komoditi).

Sementara itu, lima bekas menteri kembali menyertai Kabinet, tiga sebagai menteri penuh dan dua timbalan dalam rombakan jemaah menteri yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Naib Presiden UMNO,  Johari Ghani, yang juga bekas Menteri Kewangan Kedua dalam Kabinet Kerajaan Barisan Nasional (BN) di antara 2016 hingga 2018, dilantik mengetuai portfolio baharu, Kementerian Perladangan dan Komoditi.

Pengarah Strategi Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad, yang juga bekas Menteri Kesihatan ketika pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018-2019, kembali memegang jawatan sama.

Manakala Naib Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo, yang juga bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia di bawah Kerajaan PH dilantik sebagai Menteri Digital, iaitu kementerian baharu yang diwujudkan daripada pecahan Kementerian Komunikasi dan Digital.

Sementara itu Ketua Wanita UMNO,  Noraini Ahmad, yang juga bekas Menteri Pengajian Tinggi ketika pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional (PN), dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Seorang lagi Naib Pengerusi DAP, M Kulasegaran, yang juga bekas Menteri Sumber Manusia ketika pentadbiran PH, kembali semula dilantik Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi).

Selain Noraini dan Kulasegaran, tiga Timbalan Menteri baharu adalah Wong Kah Woh (Pendidikan), Datuk R. Ramanan (Pembangunan Usahawan dan Koperasi) dan Dr Zulkifli Hasan (Jabatan Perdana Menteri).

Related posts

Leave a Comment