Kementerian Kewangan perlu pasukan profesional

PUTRAJAYA 12 Dis. – Jawatan Menteri Kewangan II diwujudkan semula supaya kementerian berkenaan mempunyai pasukan profesional yang kuat untuk memastikan ia berada di landasan tepat dan fokus kepada ekonomi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu juga antara sebab kenapa beliau memilih Datuk Seri Amir Hamzah Azizan untuk mengisi jawatan berkenaan.

“Pandangan saya dan saya fikir sudah ada konsensus bahawa Kementerian Kewangan selain diketuai saya, mesti ada pasukan profesional yang kuat untuk memastikan kita berada di landasan yang tepat dan fokus kepada ekonomi, tidak terganggu dengan tekanan lain.

“(Pemilihan) beliau (Amir Hamzah) kerana sudah menunjukkan hasil yang kompeten, kebolehan ketika menguruskan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dengan baik dan memuaskan,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan rombakan Kabinet di sini, hari ini.

Ditanya mengenai langkah memecahkan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) kepada dua kementerian berbeza, Anwar berkata, situasi dan cabaran semasa menuntut perubahan itu dilakukan.

“Kritikan yang diberikan terhadap kami ialah kenapa sesetengah dasar itu baik, ada juga (kritikan) bahawa komunikasi dan penyebaran maklumat tidak begitu baik dan memuaskan, jadi perlu ada fokus.

“Isu mengenai transformasi digital menjadi fokus utama kerajaan ini dan ia harus diurus dengan baik, fokus isu digital mencabar, berubah, data pusat baharu, AI (kecerdasan buatan), keperluan meningkatkan pemahaman pelajar di pelbagai peringkat, amat mencabar,” katanya.

Dalam rombakan yang diumumkan Perdana Menteri hari ini, Fahmi Fadzil yang sebelum ini menerajui KKD, dilantik sebagai Menteri Komunikasi manakala bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dilantik menerajui Kementerian Digital.

Sementara itu, Anwar yakin barisan baharu Kabinet itu akan kekal sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang jika mereka mempamerkan prestasi baik dan jika tidak berdepan sebarang tekanan atau permasalahan baharu.

“Saya harap insya-Allah keadaan prestasi baik, memuaskan dan tidak ada tekanan atau permasalahan baharu. Saya tidak fikir harus ada apa-apa perubahan untuk kita terus ada rencana empat tahun akan datang sehingga PRU,” katanya.

Rombakan Kabinet itu adalah yang pertama setelah setahun Kerajaan Perpaduan dibentuk selepas PRU15 berlangsung pada 19 November 2022.

Ditanya sama ada pemotongan 20 peratus gaji menteri baharu dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan akan dilaksanakan, Anwar berkata, inisiatif itu diteruskan.

“(Pemotongan gaji 20 peratus) diteruskan cuma perdana menteri tiada pemotongan kerana tiada gaji,” katanya.

Anwar pada 5 Disember tahun lalu memaklumkan, Jemaah Menteri bersetuju melaksanakan pemotongan gaji sebanyak 20 peratus setiap bulan.
Pemotongan itu dilaksanakan sehingga ekonomi negara pulih.

 

Related posts

Leave a Comment