Majlis Keselamatan PBB ‘lumpuh’

DOHA: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres kesal dengan kegagalan Majlis Keselamatan PBB (UNSC) menuntut gencatan senjata di Semenanjung Gaza.

Pada masa yang sama, beliau turut mengecam perpecahan yang “melumpuhkan” bahagian geostrategi UNSC sehingga menjejaskan penyelesaian kepada perang Israel-Hamas yang bermula pada 7 Oktober.

“Pihak berkuasa dan kredibiliti badan terbabit terjejas teruk disebabkan tindak balasnya yang tertangguh terhadap konflik,” katanya dua hari selepas veto Amerika Syarikat (AS) menghalang gesaan resolusi gencatan senjata Gaza.

Berucap pada Forum Doha Qatar, beliau mengulangi rayuan agar gencatan senjata kemanusiaan diisytiharkan,

“Saya boleh berjanji, saya tidak akan berputus asa,” katanya yang sebelum itu mengadakan mesyuarat tergempar UNSC selepas dua bulan pertempuran yang menyebabkan lebih 17,700 orang terbunuh di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Setiausaha Agung itu menggunakan Artikel 99 Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang jarang digunakan untuk membawa kepada perhatian majlis ‘apa-apa perkara yang pada pendapatnya boleh mengancam pengekalan keamanan dan keselamatan antarabangsa’.

Peraturan itu sebelum ini tidak digunakan oleh ketua PBB dalam beberapa dekad.

“Kita akan berdepan risiko teruk akibat keruntuhan sistem kemanusiaan. Keadaan ini semakin merosot menjadi malapetaka dengan implikasi yang tidak dapat dipulihkan untuk rakyat Palestin secara keseluruhan dan untuk keamanan dan keselamatan di rantau ini,” katanya lagi.

Terdahulu di ISTANBUL, Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan mengulangi gesaannya untuk mereformasi UNSC susulan tindakan Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa veto menolak resolusi menggesa gencatan senjata kemanusiaan segera di Gaza.

“Disebabkan veto oleh AS, tiada keputusan dicapai. Majlis Keselamatan PBB perlu diperbaharu.

“Kita tidak boleh lagi bergantung harap kepada Majlis Keselamatan PBB. Sejak 7 Oktober, Majlis Keselamatan PBB yang misinya untuk mewujudkan keamanan global telah bertukar menjadi pelindung Israel,” kata Erdogan semasa berucap pada Hari Hak Asasi Manusia Sedunia.

Erdogan menegaskan bahawa rejim Israel dengan sokongan penuh Barat sedang melakukan kekejaman dan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

“Kami akan teruskan perjuangan agar orang yang tidak bersalah di seluruh dunia dapat menikmati masa depan dengan keyakinan. Buat anak-anak di Gaza, buat ibu dan bapa di Gaza yang memeluk insan tersayang mereka dengan linangan air mata, kami akan terus menyuarakan suara kami,” kata Erdogan.

Related posts

Leave a Comment