15.9 juta terima dos penggalak

PUTRAJAYA 14 April – Seramai 15,950,859 individu atau 67.8 peratus populasi dewasa menerima dos penggalak setakat semalam di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Menurut laman web COVIDNOW, bagi populasi yang sama, sebanyak 22,959,339 atau 97.6 peratus telah melengkapkan dos kedua, selain 23,236,086 atau 98.8 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Dalam tempoh yang sama, seramai 229,615 atau 6.5 peratus, kanak-kanak berumur antara lima dan 11 tahun telah lengkap divaksinasi menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids), setakat semalam.

Seramai 1,374,520 lagi kanak-kanak telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Bagi remaja berumur antara 12 dan 17 tahun, seramai 2,865,407 individu atau 92.1 peratus telah lengkap divaksinasi, manakala 2,967,575 atau 95.4 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Semalam sebanyak 47,622 dos vaksin diberikan, melibatkan 34,384 dos kedua, 7,639 dos penggalak dan 5,599 dos pertama, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah PICK sebanyak 69,370,702.

Related posts

Leave a Comment