Anjur kongres untungkan semua rakyat – Ti Lian Ker

KUALA LUMPUR 11 Dis. –  Senator Ti Lian Ker tampil menjelaskan kenyataannya berkaitan Kongres Ekonomi Bumiputera di Dewan Negara baru-baru ini yang didakwa diputar belit sehingga beliau dianggap membantah “Kongres Melayu”.

Bekas Naib Presiden MCA itu berkata, kenyataannya bersasar kepada kegagalan Kongres Ekonomi Bumiputera untuk meningkatkan kedudukan ekonomi Bumiputera setelah berpuluh tahun diadakan disebabkan budaya rasuah dan salahguna kuasa.

“Saya juga menyarankan Kerajaan Madani menerajui kongres ekonomi merangkumi semua di Malaysia supaya ekonomi negara dapat dipertingkatan untuk menyelesaikan masalah ekonomi secara menyeluruh dengan melibatkan semua,” katanya dalam satu kenyataan ‘Hentikan penyelewengan kuasa, topik saya”.

Baru-baru ini, Ti Lian Ker ketika membahaskan Belanjawan 2024 di Dewan Negara, berharap Kerajaan Perpaduan menganjurkan kongres ekonomi yang menguntungkan keseluruhan rakyat, termasuk Melayu.

Bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu berkata kongres pertama dianjurkan pada tahun 1965 ketika beliau berusia tiga tahun, kongres kedua pada tahun 1968 dan setelah 50 tahun masih diadakan lagi kongres ekonomi bumi bersiri-siri.

“Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 akan diadakan tahun depan. Harapan saya Kongres Ekonomi Bumiputera ini adalah kongres ekonomi akhir dan di masa depan adakan Kongres Ekonomi Negara, “ katanya.

Kenyataan beliau mendapat kritikan pelbagai pihak malahan ada yang mendakwa beliau membangkitkan isu perkauman.

Dalam mempertahankan kenyataannya, beliau memetik kembali apa yang diucapkan semasa perbahasan itu iaitu:

“Saya bukan hendak menidakkan hak orang Melayu ataupun berniat mempersoalkan perlaksanaan Kongres Bumiputera ini tetapi apa yang cuba saya sampaikan ialah sudah tiba masanya Kongres Bumiputera ini tidak lagi ditunggang demi meraih political brownie points atau dijadikan platform kesempatan oleh sesetengah pihak yang opportunis.

Saya berharap Kerajaan Madani mampu untuk mengubah stigma terhadap Kongres Bumiputera ini dan benar-benar menganjurkan kongres yang menguntungkan rakyat dan negara dengan rangka jangka masa panjang dan berupaya membawa kemajuan yang kekal kepada keseluruhan rakyat dan Melayu dan bukannya keuntungan sementara kepada beberapa lapisan atasan masyarakat Melayu dengan memperkudakan agenda Melayu.”

Menurut beliau lagi, kenyataannya cuma menekankan kerajaan Madani supaya membantu menghentikan stigma kegagalan Kongres Bumiputera dan membantu mengubah nasib kongres yang kononnya dikatakan gagal.

“Saya menyarankan kerajaan supaya menganjur kongres yang boleh benar-benar menguntungkan semua rakyat dan Melayu.

“Masalah ekonomi tidak akan selesai sekiranya kerajaan dan kementerian ekonomi yang sepatutnya menjaga rakyat dan negara serta keseluruhan ekonomi cuma menumpukan perhatian pada satu komuniti secara eklusif dan tidak interaktif.

“Amalan rasuah telah menggagalkan agenda membantu Melayu dan negara, lebih-lebih lagi apabila “peruntukan yang besar” diperuntukan tetapi lesap atau disalurkan kepada golongan dan lapisan tertentu,” katanya.

Related posts

Leave a Comment