Kit Siang beri keterangan beberapa hari lagi

SEPANG 11 Dis. – Lim Kit Siang, mengesahkan akan memberi keterangan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam masa beberapa hari lagi, berhubung kenyataannya yang menyentuh kemungkinan bukan Melayu dilantik sebagai Perdana Menteri.

Veteran DAP itu berkata, kenyataan berkaitan Impian Malaysia itu dibuat ketika berucap di hadapan pelajar Malaysia di Manchester pada akhir bulan lalu.

“Saya dituduh membuat kenyataan provokatif apabila saya menyatakan Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahawa bukan Melayu boleh menjadi Perdana Menteri.

“Tiada niat sedemikian. Perlembagaan bukan dokumen provokatif, (ia) asas kepada kesatuan rakyat Malaysia yang mesti dipertahankan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kit Siang baru-baru ini memberitahu, polis sedang mencari beliau susulan kenyataannya bahawa Perlembagaan Malaysia pada 1957 mahupun selepas dipinda pada 1963 ketika Malaysia dibentuk, tidak menyekat mana-mana orang bukan Melayu daripada menjadi Perdana Menteri.

Dalam ucapan kepada pelajar Malaysia di United Kingdom (UK),, beliau berharap Malaysia tidak perlu menunggu lama seperti Amerika Syarikat (AS) untuk mempunyai pemimpin daripada kalangan minoriti.

Bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu merujuk kepada pelantikan bekas Presiden AS, Barack Obama yang menjadi orang kulit hitam pertama dipilih menerajui negara itu, kira-kira 230 tahun selepas AS mencapai kemerdekaan.

Kit Siang berkata, beliau setuju dengan kenyataan bahawa orang bukan Melayu boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia, adalah ‘kenyataan fakta’ tetapi bukan ‘kenyataan realiti.’

“Itulah sebabnya saya berkata di Manchester: ‘Di Amerika Syarikat, ia mengambil masa 230 tahun bagi seorang kulit hitam Amerika untuk menjadi Presiden Amerika Syarikat. Saya harap Malaysia tidak akan mengambil masa 230 tahun untuk bukan Melayu menjadi Perdana Menteri, tetapi dalam 100 tahun akan datang, saya tidak menjangka perkara ini akan berlaku’,” katanya.

Dalam pada itu Kit Siang berkata, sejak lima tahun kebelakangan ini, rakyat Malaysia membiarkan diri mereka terperangkap dalam ketaksuban berkaitan isu 2R mengenai kaum dan agama, serta mempercayai bahawa satu kaum atau agama sedang menghadapi kepupusan.

“Tiada kaum atau agama di Malaysia yang menghadapi ancaman atau kepupusan. Sebagaimana titah Sultan Selangor dalam satu temu bual, baru-baru ini, Malaysia adalah tempat mencairkan pelbagai budaya yang dipelihara sejak merdeka, dan negara perlu terus mempertahankan nilai serta latar belakang pelbagai budaya yang kekal sebagai salah satu kekuatan yang menyatukan negara.

“Sultan Selangor bertitah tidak ada pendatang di Malaysia kerana Raja-Raja Melayu telah menerima semua, termasuk bukan Melayu sebagai warganegara,” katanya.

 

Related posts

Leave a Comment