PUCHONG 11 Dis. – Tujuh atau lapan orang lagi Ahli Parlimen yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dari beberapa negeri didakwa akan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam tempoh terdekat.
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, yang membuat dakwaan itu, bagaimanapun enggan mendedahkan identiti Ahli Parlimen terbabit dan sama ada mereka daripada Pas atau Bersatu.
“Dulu, saya kata ada lima atau enam orang, (namun) sekarang ada tujuh atau lapan orang (bakal menyatakan sokongan kepada Anwar). Nama (mereka), saya tidak boleh maklumkan di sini.
“Tunggu dan lihat… bakal ada pengumuman mereka yang akan menyokong Kerajaan Madani,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Syed Abu Hussin yang mewakili Bersatu pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu turut mengesahkan sebahagian daripada mereka telah berhubung dengannya dan ada juga dengan orang lain untuk menyatakan sokongan kepada Anwar.
Katanya, semakin ramai ahli Parlimen PN bersedia berbuat demikian kerana keengganan pucuk pimpinan mengadakan rundingan rasmi dengan pihak kerajaan berhubung peruntukan kawasan.
“Kerajaan suruh runding, kenapa tak runding. Ahli Parlimen dari Pas pun merungut juga tak ada peruntukan, tapi mereka dengan cara mereka, jadi mereka teruskan.
“Saya orang parti dan apa usaha yang dilakukan PN, saya berikan masa, walaupun tegur banyak kali tapi sehingga setahun pun tak boleh runding malah ada dua orang lagi keluar dan sebab itu akan ada beberapa orang lagi akan keluar,” katanya.
Beliau berkata, jika PN terus enggan berunding dengan pihak kerajaan, golongan pengundi Melayu mungkin tidak mendapat pembelaan sewajarnya.
“Apa akan jadi pada PN, mereka jaga kawasan Melayu dan kalau tak bersedia untuk berunding maknanya tak dapat peruntukan. Kalau tak mampu berunding, lantiklah wakil yang boleh berunding.
“Sebagai ahli Parlimen dalam negara demokrasi, patutnya ahli Parlimen pembangkang lebih terbuka dan gentleman. Saya tak boleh tunggu begitu lama nak tebuk atap. Sekarang atap dah tak ada, yang ada bumbung konkrit, bukan senang nak tebuk,” katanya
Beliau pada masa sama menafikan tindakannya mengisytiharkan sokongan kepada Anwar pada akhir bulan lalu, disebabkan pujukan oleh mana-mana individu.
“Saya sebenarnya tidak dipujuk oleh sesiapa dan tidak ditawarkan apa-apa… disebabkan saya faham apa yang patut saya buat.
“Kalau saya tidak sokong pun, ada peruntukan bagi kawasan saya… tetapi saya hendak lebih efektif. Saya hendak boleh bercakap secara terus-terang dengan semua pemimpin kementerian untuk membantu kawasan saya.
“Jadi, tidak ada pujuk-memujuk. Sebab itu saya membuat (pengumuman sokongan) secara terbuka. Yang sebelum ini, dibuat secara tertutup, tandatangani SD (akuan bersumpah). Saya tidak ada tandatangani SD,” katanya.
Syed Abu Hussin yang pernah mewakili UMNO pada PRU terdahulu dan kemudian meninggalkan parti itu berkata, pihaknya bersedia berdepan sebarang tindakan Bersatu susulan menyatakan sokongan kepada kepemimpinan Anwar.
Katanya, beliau tidak melanggar peraturan Bersatu kerana perlembagaan parti tidak melarang sesiapa memberi sokongan kepada mana-mana pihak.
“Kalau parti hendak mengambil tindakan, dia akan bawa ke Jawatankuasa Disiplin.
Jawatankuasa Disiplin akan memutuskan apa bentuk tindakan disiplin yang boleh diambil… (dan) saya bersedia,” katanya.
Selain Syed Abu Hussin, empat lagi Ahli Parlimen daripada Bersatu telah mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Anwar, iaitu Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), serta Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
