SUNGAI BULOH 10 Dia. – Parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan perlu mencari jalan untuk menarik sokongan pengundi Melayu sebagai persiapan mendepani pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata Presiden Amanah, Mohamad Sabu.
Beliau berkata, kejayaan Perikatan Nasional (PN) menembusi Selangor dengan memenangi bilangan signifikan kerusi Dewan Undangan negeri (DUN) ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) beberapa bulan lalu tidak boleh dipandang ringan.
Katanya, keputusan PRN beberapa bulan lalu adalah bukti ‘gelombang hijau’ selaku fenomena politik yang dikaitkan dengan sokongan pembangkang, perlahan-lahan menyusup ke beberapa negeri.
“Saya terkejut ketika PN menang 22 kerusi (dalam PRN lalu), yang mana ia hampir membolehkan gabungan itu mengambil alih (pentadbiran kerajaan negeri di) Selangor, majoriti undi Melayu di Selangor pergi kepada gabungan pembangkang.
“Untuk itu, menjadi tanggungjawab Amanah dan rakan-rakan termasuk DAP untuk duduk bersama, bincang, fikir dan bentuk strategi bagaimana untuk memenangi undi Melayu (dalam PRU akan datang),” katanya ketika berucap sempena pelancaran Konvensyen Amanah Wilayah Persekutuan di Kepong, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan, Dr Mohd Hatta Ramli dan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad.
PRN di enam negeri pada 12 Ogos lalu menyaksikan parti mewakili Kerajaan Perpaduan mengekalkan penguasaan di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, manakala Pas bersama rakan gabungannya dalam PN di Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan yakin parti mewakili Kerajaan Perpaduan mampu untuk mengekalkan penguasaan dalam PRU-16 walaupun usaha menarik undi Melayu mencabar.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata, ia disebabkan sokongan kuat rakyat terhadap Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Sabah, selain PH dan BN di Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Namun, semua parti gabungan perlu bekerja keras untuk memenangi hati pengundi di negeri majoriti Melayu seperti Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
