Presiden: Tidak akan berlaku perpecahan dalaman Amanah

IPOH 10 Dis. – Naib Presiden Amanah,  Dr Mujahid Yusof, berkata tidak akan  berlaku kem atau perpecahan dalaman jika jawatan presiden parti bertukar selepas Pemilihan Jawatankuasa Nasional Amanah sesi 2023-2026 pada 22 Disember ini.

Katanya, kedudukan lima jawatan tertinggi termasuk presiden ditentukan secara konsensus oleh 27 pimpinan utama yang akan dipilih oleh perwakilan.

“Jadi tak ada yang peliklah kalau dia nak melantik (presiden) dari kalangan 27 orang itu, mengikut merit,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Amanah Negeri Perak 2023 di sebuah hotel di sini hari ini.

Muhjahid yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak berkata demikian ketika ditanya mengenai sama ada akan berlaku keretakan serta perpecahan dalam Amanah susulan adanya beberapa laporan menyatakan Datuk Seri Mohamad Sabu mungkin tidak akan kembali dipilih menerajui parti itu selepas pemilihan bulan ini.

Pada 17 November lalu, Mujahid dilaporkan berkata beliau sedia memikul tanggungjawab lebih besar sekiranya tersenarai lima yang menerima sokongan tertinggi dalam pemilihan Jawatankuasa Nasional Amanah bagi sesi 2023-2026.

Ketika ini jawatan Timbalan Presiden kosong berikutan kematian  Salahuddin Ayub manakala tiga Naib Presiden yang dipilih adalah  Mahfuz Omar, Mujahid dan  Hasanuddin Mohd Yunus.

Sebelum ini, sebuah portal yang memetik sumber melaporkan ada pemimpin utama Amanah tidak menafikan terdapat kelompok tertentu sedang mengatur gerakan menukarkan kepemimpinan Mohamad kepada teraju baharu diketuai Mujahid pada pemilihan parti akan datang.

Mujahid sebelum ini juga menyatakan kesediaan memikul tanggungjawab lebih besar sekiranya nama beliau tersenarai lima yang menerima sokongan tertinggi dalam pemilihan Jawatankuasa Nasional Parti Amanah Negara bagi sesi 2023-2026.

Bagaimanapun beliau menyerahkan urusan pemilihan itu sepenuhnya kepada 27 pimpinan utama untuk menentukan lima kedudukan tertinggi parti menerusi konsep rundingan bersama.

Berdasarkan sistem diamalkan Amanah, tiada pertandingan satu lawan satu bagi lima jawatan tertinggi itu meliputi presiden, timbalan presiden atau tiga naib presiden seperti yang diamalkan parti politik lain termasuk Pas.

“Jadi tiada guna saya beritahu saya mahu jadi (bertanding) presiden atau sebagainya… kita (Amanah) bukan bertanding untuk jawatan, tetapi mahu menjadi lima tertinggi yang mendapat sokongan.

“Keadaan sekarang pramatang untuk saya katakan mahu jawatan presiden atau lain-lain, kerana seseorang itu tidak mungkin mendapat tertinggi atau sekurang-kurangnya 17 (sokongan selamat) daripada keseluruhan 27 pimpinan utama itu.

“Jadi perlu menang undian daripada 27 itu dahulu, baru berdepan cabaran untuk mencalonkan diri bagi mendapatkan (konsensus) rundingan bersama,” katanya pada Majlis Minum Petang Media di Restoran Rebung Chef Ismail, Bukit Aman.

Related posts

Leave a Comment