Kerajaan Perpaduan ‘berbumbung konkrit”

KUALA LUMPUR 10 Dis. – Kerajaan Perpaduan sudah mempunyai kekuatan dan berupaya membina ‘bumbung yang konkrit’ daripada sebarang cubaan ‘tebuk atap’ selepas setahun pentadbiran, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata Kerajaan Perpaduan sudah berhasil tanpa pertelagahan akibat perbezaan parti dalam kerajaan Persekutuan walaupun pentadbiran diketuainya dibentuk dengan gabungan 18 parti politik.

“Sekarang bumbung kita bumbung konkrit, tebuk atap itu mentaliti. Sekarang ini, baik Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), hubungan kerjasama sangat baik.

“Dalam Jemaah Menteri, perbezaan pendapat masing-masing itu ada, tapi bukan atas perbezaan parti, percubaan ini nampaknya berhasil. Percubaan ‘tebuk atap’, ada yang kata Julai, Ogos, September, Oktober, saya fikir kita ada kekuatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog semasa majlis penutupan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini hari ini.

Sebelum ini, ada Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), blok pembangkang dalam Dewan Rakyat mendakwa usaha sedang dibuat untuk menarik sokongan Ahli Parlimen BN bagi memastikan gabungan itu menjadi kerajaan, selain memberi gambaran Kabinet pimpinan Anwar tidak akan bertahan lama.

Kerajaan Perpaduan ketika ini mempunyai sokongan 152 ahli Parlimen termasuk lima Ahli Parlimen PN daripada Bersatu.

Pada September lalu, Kerajaan Madani hilang majoriti dua pertiga apabila wakil tunggal Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman,  menarik sokongan menyebabkan kerajaan mempunyai 147 daripada 222 kerusi

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) November tahun lalu, BN memperoleh 30 kerusi, PH (82), PN (73), GPS (23), GRS (6), Parti Warisan (3), Bebas (2) serta Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat, masing-masing satu kerusi.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kejayaan pentadbiran Kerajaan Perpaduan disumbangkan oleh pembentukan pasukan Kabinet yang mantap serta komitmen kepimpinan secara keseluruhannya.

Katanya, pandangan masyarakat bahawa beliau berseorangan mengemudi bahtera kerajaan adalah persepsi semata-mata, sedangkan ada beberapa kejayaan dicapai kementerian yang tidak membabitkan dirinya secara langsung.

“Itu persepsi, kita lihat peranan setiap kementerian yang adakan mesyuarat setiap minggu, ekonomi, kerja raya, pendidikan, kesihatan, komoditi, perdagangan antarabangsa dan industri. Kalau kita lihat MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri), merekodkan ratusan bilion (komitmen pelaburan).

“Karnival Usahawan Desa (KUD) ditingkatkan, aspek komoditi runding sampai Indonesia supaya eksport kelapa sawit ditingkatkan. Saya tidak terbabit secara langsung, saya beri sokongan, saya tak dapat umumkan semua, namun semua (kementerian) ada usaha.

“Saya tak fikir dapat mencatat kejayaan tanpa pasukan yang mantap dan komitmen kepimpinan keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata, rakyat boleh menilai prestasi setiap kementerian melalui Program Setahun Bersama Kerajaan Madani yang akan dianjurkan di setiap negeri bermula Januari nanti.

Mengakui ada usaha dilaksanakan kementerian mungkin tidak diberikan publisiti seperti diberikan kepadanya sebagai perdana menteri, Anwar meminta pimpinan kementerian menyebarkan kepada rakyat supaya mereka faham kerja dan khidmat Kerajaan Perpaduan adalah sebagai satu pasukan.

Kerajaan pimpinannya sentiasa berikhtiar untuk meningkatkan prestasi, termasuk dalam aspek perolehan kontrak yang lebih telus, malah sepanjang setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan, tiada seorang pun menteri yang direkodkan disiasat kerana rasuah.

Related posts

Leave a Comment