Tindakan Hamas bukan izin ‘hukuman kolektif’

NEW YORK: Tindakan Hamas tidak boleh membenarkan “hukuman kolektif” terhadap rakyat Palestin ketika Israel meneruskan kempen ketenteraan di Gaza, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres.

Beliau menegaskan demikian pada mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB selepas pertempuran selama berminggu-minggu menyebabkan lebih 17,487 orang terkorban di Gaza.

Guterres dan sekumpulan negara Arab berusaha meraih undi untuk gencatan senjata serta-merta, tetapi Amerika Syarikat (AS) yang menggunakan kuasa veto menentang langkah sedemikian, menjadikannya usul itu tidak mungkin berjaya.

“Kira-kira 130 tebusan masih ditahan. Saya menggesa mereka dibebaskan segera tanpa syarat, mendapat layanan kemanusiaan dan lawatan daripada Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah sehingga mereka dibebaskan.

“Pada masa sama, tindakan dilakukan Hamas tidak boleh membenarkan hukuman kolektif terhadap rakyat Palestin,” kata Guterres.

Guterres merujuk Artikel 99 Piagam PBB yang jarang digunakan untuk membawa kepada perhatian majlis iaitu “apa-apa perkara yang pada pendapatnya boleh mengancam pengekalan keamanan dan keselamatan antarabangsa.”

Tetapi Timbalan Duta AS, Robert Wood, berkata walaupun AS menyokong keamanan yang berkekalan, yang mana kedua-dua Israel dan Palestin boleh hidup dalam aman dan selamat, namun tidak menyokong gesaan untuk gencatan senjata segera.

Selepas Guterres menghantar surat tergemparnya, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menyediakan draf resolusi untuk undian yang menyebut situasi kemanusiaan di Gaza sebagai “malapetaka” dan “menuntut gencatan senjata kemanusiaan segera.”

Teks pendek itu juga menggesa kepada perlindungan orang awam, pembebasan segera dan tanpa syarat semua tebusan dalam kurungan Hamas, dan akses kemanusiaan ke Gaza.

Sementara itu, Duta Perancis ke PBB, Nicolas de Riviere berpendapat, perang kemanusiaan ini tidak boleh ditunggu selama-lamanya, tetapi untuk tergesa-gesa mengundi tanpa berunding akan menjadi satu kesilapan besar.

Timbalan Duta UAE, Mohamed Issa Abushahab, berkata majlis akan mengundi dan ia adalah peluang untuk menjawab gesaan seluruh dunia supaya keganasan itu ditamatkan.

Kawasan Gaza yang luas menjadi tanah terbiar dan PBB berkata kira-kira 80 peratus penduduk kehilangan tempat tinggal, menghadapi kekurangan makanan, bahan api, air dan ubat-ubatan, bersama-sama dengan ancaman penyakit.

“Undang-undang kemanusiaan antarabangsa adalah termasuk kewajipan untuk melindungi orang awam,” kata Guterres.

Related posts

Leave a Comment