Israel perlu berundur dari Lubnan

BEIRUT – Tentera Israel perlu berundur sepenuhnya dari wilayah Lubnan sebelum tarikh akhir esok dan ‘tiada alasan’ untuk tenteranya kekal berada di mana-mana pos kawalan di selatan Lubnan.

Menerusi rakaman ucapan yang disiarkan di televisyen, Setiausaha Agung Hizbullah, Naim Qassem, menegaskan Israel perlu berundur sepenuhnya esok, tanpa sebarang alasan dan tidak dibenarkan berada di lima pos kawalan atau permintaan lain.

Di bawah perjanjian gencatan senjata yang diselaraskan Washington pada November lalu, tentera Israel diberi tempoh 60 hari untuk berundur, di mana mereka melancarkan serangan darat terhadap pejuang Hizbullah sejak awal Oktober.

Tarikh akhir itu kemudian dilanjutkan ke 18 Februari, tetapi menurut sumber,  tentera Israel meminta untuk mengekalkan pasukannya di lima pos kawalan di selatan Lubnan tetapi ditolak.

Qassem menegaskan mana-mana tentera Israel yang masih berada di tanah Lubnan selepas esok dianggap sebagai tentera penjajah.

“Semua orang tahu bagaimana kita berurusan dengan penjajah,” katanya tanpa memberikan butiran jelas tindakan kumpulannya meneruskan semula serangan terhadap Israel.

Rabu lalu, stesen penyiar awam Israel melaporkan Amerika Syarikat (AS) membenarkan ‘kehadiran jangka panjang’ tentera Israel di selatan Lubnan.

Semasa siaran ucapan Naim, sekurang-kurangnya tiga serangan udara Israel membedil Lembah Bekaa di timur Lubnan.

Tentera Israel menyatakan mereka melancarkan serangan selepas mengenal pasti aktiviti Hizbullah di lokasi yang menyimpan pelancar roket dan senjata lain.

Related posts

Leave a Comment